Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Azmi Sedia Maklum Kondisi Anak Tidak Seperti Bayi Normal, Masih Terkejut Dengan Pemergian” - Pengurus

Mya Amri
01/10/2021 01:45 MYT
Pengurus Azmi Saat, Syah Rahman memaklumkan vokalis kumpulan Caliph Busker itu sedia maklum dengan kondisi anak kesayangannya, Khairul Afnan sebaik sahaja dilahirkan.

Bagaimanapun kata Syah, Azmi dan isterinya tidak berputus asa dan berdoa agar ada keajaiban dapat menyembuhkan anak yang dinanti selama 10 tahun.

“Azmi dan isteri reda dengan pemergian anak yang mereka tunggu selama 10 tahun ni.

“Apa yang saya diberitahu sejak 27 September bayi itu dilahirkan, Azmi sudah sedia maklum mengenai anaknya, tidak seperti bayi normal.

“Tapi mereka cuba kuat, berdoa dan terus berdoa agar ada keajaiban. Saya pun tidak dimaklumkan bila tanya dia cakap semua okay, isteri okay.

“Dia cuba tak nak bagitahu, cuma semalam (Rabu) dia ada masuk dalam group minta doakan Afnan sebab akan dicabut bantuan pernafasannya.

“Doktor syak ada masalah pada bahagian otaknya kerana tidak dapat berfungsi seperti biasa. Jadi pernafasan tidak dapat nak di pam ke seluruh badan.

“Itulah cerita yang dikongsi tetapi apa-apa pun bila Azmi dah okay dia akan beritahu segalanya,” katanya ketika dihubungi Gempak.

BACA: “Doktor Syak Bahagian Otak Afnan Ada Masalah…” Pengurus Azmi Saat

Dalam pada itu, Syah juga menyatakan bahawa Azmi dan isterinya masih lagi terkejut dengan pemergian Khairul Afnan.

“Setakat yang saya jumpa (semalam)… Alhamdulillah dia okay, dia tak adalah nampak down sangat cuma dia agak terkejut.

“Tetapi isterinya masih bersedih dan tidak mahu diganggu oleh sesiapa. Kalau boleh dia hanya mahu habiskan masa dengan Azmi,” ujarnya.

Selain itu, Syah juga menyatakan Azmi memohon untuk diberikan ruang buat dan menangguhkan seketika jadual kerja.

“Azmi pun minta saya beritahu mana-mana yang kita dah lock tu (kerja) dia minta ditangguhkan untuk beberapa minggu.” maklumnya.

BACA: “Tunggu Kami Di Syurga Ya”- Baru Berusia 3 Hari, Bayi Sulung Azmi Saat Meninggal Dunia

Sebelum ini, Azmi dan isterinya ada meluahkan perasaan gembira dengan kelahiran Afnan kerana sudah 10 tahun menanti untuk memiliki cahaya mata sendiri.

Nazira melahirkan cahaya mata pertama mereka menerusi kaedah pembedahan di sebuah pusat perubatan, pagi kelmarin. Khairul Afnan dilahirkan dengan berat 3.3 kilogram.

Azmi dan Nazira mendirikan rumah tangga pada 2011.

#Meninggal Dunia #Azmi Saat #Pengurus Azmi Saat #Anak Meninggal Dunia #Syah Rahman
;