Tidak pernah terpalit dengan mana-mana kontroversi, pelakon Azrel Ismail mengakui dia sememangnya tidak mahu mengotorkan namanya hanya untuk mengejar populariti.

Mahu kerjaya seni lebih menyerlah, Azrel memberitahu dia ada menerima nasihat daripada beberapa pihak yang menyuruhnya membuat sesuatu untuk menjadi viral.

“Saya memang menjaga nama sejak dari awal masuk dalam industri. Ikutkan ada juga orang nasihat untuk saya cipta kontroversi.

“Sebab katanya kontroversi itu perlu untuk berada dalam industri. Saya ada juga terfikir cuma saya anggap semua orang ada cara tersendiri.

“Mungkin cara saya lebih baik biar nama bersih supaya kerjaya lebih menyerlah. Mungkin waktu sekarang nama saya tidak la meletup, tapi biarlah maintain sampai bila-bila.

“Janji saya masih ada dalam industri, walaupun tak ada kontroversi tapi tetap sentiasa ada job,” kata Azrel kepada Gempak.

Azrel ditemui ketika majlis pra tonton dan sidang media filem terbaharu berjudul Biko yang diadakan di GSC The Starling Mall, Petaling Jaya baru-baru.

Selain Azrel, filem arahan Teng Bee yang akan ditayangkan pada 13 Oktober depan juga dibarisi oleh pelakon Baby Shima, Sara Ali dan Syed Irfan.

Sementara itu, Azrel mendedahkan dia pernah diserang netizen selepas memuat naik status yang mengundang kecaman sehingga menyebabkan dirinya berdepan masalah tidur.

“Saya pernah termuat naik status yang mengundang kecaman netizen. Masa itu, teruk juga saya diserang netizen… memang rasa takut la sampai tak boleh tidur.

“Baru tahu macam itu rupa-rupanya rasa diserang netizen. Mereka punya serangan itu sangat kuat. Saya pula waktu itu masih baru dan tak tahu macam mana nak handle.

“Sampai tahap, saya pernah tutup komen terus. Saya jadi macam trauma sebab serangan netizen itu sangat menyeramkan,” ujarnya.