Hiburan

Azwan Ali ‘Why Bother’ Dan ‘Ais Kacang’

gempak
Fiza Kamarudin
07/03/2017
15:13 MYT
Sponsor Banner
Azwan Ali ‘Why Bother’ Dan ‘Ais Kacang’
Pelakon dan pengacara sensasi Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA di kalangan para peminatnya akan membincangkan isu semasa yang sedang tular menerusi aplikasi digital Ais Kacang.
Program ‘Why Bother By Diva AA’ dikendalikan Azwan merupakan antara kandungan podcast menarik Ais Kacang bagi bahasa Malaysia selain Yu Laser oleh Yuyu Aziz yang menyentuh isu kontroversi.
Podcast bahasa Inggeris pula mengetengahkan bualan kesihatan, Fitness dan The Balcony yang mengupas topik daripada golongan usia berbeza.
Bagi podcast bahasa Cina pula, antara bualan menarik adalah Mahjong Talk dan Intimate Talk.
Ais Kacang merupakan aplikasi digital diperkenalkan Rangkaian Radio Media Prima (RRMP) yang mengumpulkan 30 podcast berbeza dalam bahasa Malaysia, Inggeris dan Cina.
Ketua Pegawai Eksekutif RRMP, Seelan Paul berkata, Ais Kacang menghidangkan pengisian yang mengupas pelbagai topik menarik dan berbeza dari radio tradisional.
"Podcast adalah platform popular di luar negara tetapi ia masih baru di Malaysia. Justeru, kami mensasarkan untuk menjadi podcast terbaik dan terbesar di negara," katanya di majlis Pelancaran Tiga Inisiatif Terbaru RRMP, Pusat Konvensyen Sime Darby, petang Selasa.
Selain itu Seelan berharap agar Ais Kacang dapat menarik lebih ramai pendengar, sekali gus melonjakkan lagi jumlah unik pendengar sedia ada.
"Buat masa sekarang, belum ada lagi stesen radio lain mengeluarkan aplikasi seperti ini dan orang ramai boleh mendengar podcast ini secara percuma," katanya.
Beliau berkata, pihaknya masih mencari bakat untuk mengendalikan podcast dan mengalu-alukan individu untuk menyumbang pengisian mereka.
"Paling penting sekarang adalah mengukuhkan jenama Ais Kacang bagi menarik ramai pendengar," katanya.
Podcast Ais Kacang boleh didengari menerusi laman web rasmi www.aiskacang.com.my atau memuatnaik aplikasi dalam iTunes.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live