"Baca Buku Tak Habis, Tengok Filem Separuh-Separuh, Menaip Pun Teruk!" - Sharifah Sakinah Akui Hidap Disleksia Sederhana

Amri Hassan
Ogos 26, 2019 05:01 MYT
Pelakon Sharifah Sakinah akui dirinya menghidap disleksia tahap sederhana dan memiliki ciri-ciri hiperaktif 'Attention Deficit Hyperactivity Disorder' (ADHD).
Jelas Sakinah perkara itu disedarinya selepas tamat persekolahan.
"Sukar untuk saya fokus dalam melakukan tugasan seharian malah untuk berbual dalam jangka masa panjang.
"Saya gemar membaca buku tetapi tak mampu nak habiskannya.
"Tengok filem pun separuh-separuh. Menaip pun mesti typo teruk.
"Selepas tamat persekolahan saya baru sedar saya punyai ciri-ciri ADHD dan disleksia sederhana," dedahnya menerusi akaun Instagramnya baru-baru ini.
Bagaimanapun, membesar dalam keluarga Melayu kata Sakinah sukar untuk mengesan perilaku dan masalah yang dihadapi sebenarnya.
"Keluarga Melayu jarang ada kesedaran tentang perkara ini tetapi saya sekarang menyalurkan ciri-ciri hiper itu kepada senaman.
"Saya berlari sebelum membaca, penggambaran dan menghadiri acara. Ia membantu untuk saya lebih fokus.
"Makan pun jaga. Saya kurangkan pengambilan tenusu dan daging serta memakan banyak buah-buahan.
"Kini saya belajar untuk bermeditasi untuk membantu saya tenang.
"Memang banyak ikhtiar yang perlu saya buat untuk menjadikan saya individu normal. Tetapi ia berbaloi!" tambahnya.
Perkongsian itu sedikit sebanyak membuka mata peminat dan netizen mengenai kesedaran gangguan neuro itu.
Malah, ada yang turut berkongsi perilaku dan simptom sama yang dihadapi Sakinah dalam kehidupan seharian.
#pelakon #Sharifah Sakinah #Pelakon #Disleksia