Penyanyi utama kumpulan Damasutra, Baggio membuka tahun 2020 mempertaruhkan single terbaharunya berjudul Laduni Cinta.

Menurutnya, lagu ini sangat bermakna untuk dirinya kerana tahun ini Baggio ingin menghadiahkan sesuatu yang baru dan memberi makna kepada peminatnya.

Lagu ini ditulis oleh Joe Slash yang berkonsepkan pop rock manakala liriknya pula di tulis oleh penulis lirik yang sama untuk lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi, S Amin Shahab.

"Pertama kali saya menerima lagu ini dari Joe, saya sudah terdetik untuk memanggil S Amin Shahab kerana rindukan pengisian yang kreatif dan sangat mendalam yang boleh di hasilkan untuk komposer terbaharu seperti Joe.

"Apabila pertama kali meneliti lirik yang dihasilkan, saya yakin inilah karya yang dinanti-nantikan oleh peminat di luar sana," katanya.

Menurut Joe pula, lagu ini mempamerkan kematangan Baggio bagi seorang penyanyi.

"Saya berbesar hati dapat mencipta sebuah lagu untuk penyanyi yang sangat berpengalaman seperti Baggio dan mencari genre yang sesuai untuknya pada zaman sekarang yang nampak 'simple'.

"Dengan kekuatan vokal yang ada pada Baggio, saya yakin dengan lagu ini, tambahan pula penulis lirik lagu ini, S Amin Shahab merupakan seorang yang sangat berpengalaman," kata Joe.

Muzik video rasmi Laduni Cinta dilancarkan pada 9 Januari 2020 dan anda boleh menontonnya di bawah: