Jika anda mengikuti perkembangan kes kekerasan dalam rumah tangga (KDRT) yang berlaku antara Lesti Kejora dan Rizky Billar, sudah pasti anda juga ikut maklum tentang ‘kebencian’ peminat dan warga Indonesia terhadap pasangan selebriti popular, Baim Wong dan isterinya Paula Verhoeven.

Hal ini berlaku gara-gara Baim dan Paula meluncurkan kandungan Youtube gurauan (prank) dengan berpura-pura membuat laporan polis kerana terkait isu KDRT.

Ini kronologi mengenai isu tersebut:

Berbincang

Pada 2 Oktober lalu, Baim dan Paula memuat naik video prank berkenaan di akaun Youtube mereka, Baim Paula.

Menerusi video tersebut, Baim dan Paula dilihat berbincang dalam sebuah kereta yang diletakkan di depan Balai Polis Kebayoran Lama, Jakarta Selatan. Ketika itu mereka merancang untuk menghasilkan video prank dengan membuat laporan palsu mengenai isu keganasan rumah tangga.

Selepas rancangan mereka selesai, Paula pun turun daripada kereta lalu menuju ke ruang membuat laporan di balai polis berkenaan. Pada waktu itu, Paula berpura-pura mahu membuat laporan KDRT terhadap Baim sebagai individu yang dilaporkan.

Ketika Paula berada di balai polis, Baim yang menunggu dalam kereta memantau apa yang dilakukan oleh isterinya menerusi kamera.

Buat laporan

Sesampainya dalam balai, Paula memberitahu yang dia ingin melaporkan bahawa suaminya yang telah melakukan kekerasan kepada dirinya.

"Suami saya KDRT, encik. Jadi, saya ingin buat laporan. Macam mana ya, encik?" kata Paula.

Anggota polis yang bertugas pada awalnya tidak mengenali wanita itu ialah Paula memandangkan dia mengenakan pelitup muka. Bagaimanapun, anggota polis itu mula mengenali Paula saat dia diminta untuk melepaskan pelitup muka.

"Paula?" ujar anggota polis itu.

"Iya, Paula," balasnya.

"Subahanallah," anggota polis tersebut memberi respons seperti tidak percaya.

Prank berhasil

Ketika diambil keterangan, Baim yang menunggu di luar masuk menemui Paula di ruangan membuat laporan. Anggota polis berkenaan mula menyedari bahawa laporan yang dibuat oleh Paula adalah prank semata-mata.

"Prank ya?" tanya aggota polis berkenaan.

Baim dan Paula pun ketawa sambil memberitahu yang mereka sedang melakukan prank terhadap laporan KDRT yang dibuat oleh Paula.

Baim kemudian bertanya tentang proses membuat laporan kes KDRT kepada dua anggota polis itu. Kemudian, kedua-duanya menerangkan proses yang biasa dilakukan di balai.

Mohon maaf

Setelah menerima kecaman daripada ramai orang, Baim dan Paula akhirnya membuat permohonan maaf pada keesokan harinya.

“Saya minta maaf kalau melibatkan mereka (anggota polis). Saya minta maaf secara langsung. Semoga mereka tidak disalahkan, kerana salah di pihak saya,” ujar Baim dalam video yang dikongsi di akaun Instagram.

Pada awalnya Baim menganggap tiada masalah yang akan timbul memandangkan dia memang mengenali dua anggota polis berkenaan.

“Saya memang kenal mereka sebab mereka berjasa menangkap pencuri motor di rumah saya dulu. Kami selalu berhubung juga dan kerana itu saya rasa boleh buat prank sedemikian.

“Saya juga minta maaf (kepada seluruh mangsa KDRT). Saya tidak terfikir sama sekali ke arah sana, sebodoh itu memang saya melakukan hal berkenaan,” ungkap Baim.

Video prank KDRT itu bagaimanapun telah dihapuskan daripada saluran Youtube Baim Paula.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!