Pelakon Sharifah Amani tampil menyuarakan pandangannya terhadap sistem produksi tempatan yang meletakkan ekspektasi tinggi terhadap pelakon dengan bayaran tidak setimpal.

Keluh Amani, dia masih tidak mengerti masih wujud produksi yang meminta pelakon untuk menyediakan pakaian sendiri berbekalkan bajet yang rendah.

Disebabkan itu juga tambah Amani, ramai pelakon yang terpaksa recycle pakaiannya untuk digunakan dalam set penggambaran naskhah lain.

"2021 dan pelakon masih perlu menyediakan pakaian sendiri untuk penggambaran. Bajet sikit, bayaran pun sama. Kemudian, kamu harapkan untuk cari penaja baju atau beli sendiri. Saya tak fahamlah apa yang sedang berlaku?

"Itulah sebabnya kadang-kadang anda nampak pelakon pakai baju sama untuk beberapa cerita. Pasal tak semua mampu beli atau cari lain.

"Tak semua mampu bayar jururunding gaya dan punyai pasukan wardrobe sendiri. Itu tanggungjawab produksi. Tapi produksi pun berdepan kekangan dengan bajet sikit," ujarnya.

Perkongsian Amani itu katanya sebagai satu makluman kepada penonton yang mungkin menganggap pelakon enggan memberikan usaha terbaik setiap kali terbabit dengan penggambaran.

"Tolonglah faham kita sudah penat mengadu. Ramai antara kita yang sudah cuba terbaik untuk memperbetulkan sistem yang sudah sekian lama punah.

"Kami bercerita tentang hal ini jadi anda tahu bukannya kami tak mahu atau tak mampu berikan terbaik kepada kalian, tapi sistem kita yang perlu diperbaiki.

"Audiens berhak untuk tahu bagaimana industri kreatif berkerja. Menjadi tanggungjawab kami untuk menjelaskannya.

"Korang yang support dan bayar untuk hasil kerja tempatan jadi korang patut tahu kenapa ada perkara yang nampak tidak elok dan bagaimana caranya agar kita boleh sama-sama mengubahnya nanti," ciapnya.