Selepas kejayaan Mat Kilau, kini Datuk Adi Putra muncul pula dengan naskhah terbaharu iaitu filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa.

Berkongsi tentang penglibatannya dalam filem ini, Adi berkata cabarannya bukanlah terletak pada lakonan sebaliknya pakaian seragam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Pada saya cabaran terbesar selain lakonan adalah menyarungkan pakaian TUDM. Bukan mudah nak pakai pakaian seragam ini.

“Baju TUDM adalah satu amanah besar selain melambangkan benteng negara. Bagi saya ia sangat mencabar.

“Sebagai pelakon, bagi saya bukan sahaja nak tumpukan dari segi lakonan tetapi juga cara nak menyakinkan bahawa diri kita ini adalah salah seorang pegawai TUDM,” katanya ketika ditemui Gempak.

Adi melakonkan watak sebagai Mejar Adnan atau Lejen dalam Air Force The Movie: Selagi Bernyawa.

Selain Adi, filem ini turut dibintangi oleh Aiman Hakim Ridza, Scha Alyahya, Nas-T, Luqman Hafidz, Johan As'ari, Pablo Amirul, Jack Tan, Sara Ali dan ramai lagi.

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa ditayangkan bermula hari ini, 25 Ogos.

Filem ini juga diterbitkan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama lima syarikat penerbitan gergasi iaitu Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro, FXHammer Films dan SixFun Media.

Filem arahan Zulkarnain Azhar yang sebelum ini pernah mengarahkan filem J Revolusi (2017) dan Frank See yang pernah menulis skrip filem PASKAL (2018) ini juga ditayangkan di 170 lokasi di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.