Pelakon Ayda Jebat, 28, akui berasa teruja apabila bakal bergelar isteri kepada pengacara Nabil Mahir, 32, hari ini.

Menurut Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat berkata perasaan gementar tetap ada tetapi masih dapat dikawal.

"Gementar tu kurang sikit sebab lebih kepada perasaan teruja. Saya dah bagitau dekat Nabil nak jadi individu terakhir sekali masuk masa hari akad nikah.

"Rasanya Nabil yang gementar sebab dia pihak lelaki kan?" katanya kepada Gempak.

Sementara itu, penyanyi yang baru mengeluarkan single terbaru, Parah Parah menyatakan dia akan mengadakan sebuah majlis bersama peminat selepas keadaan pandemik COVID-19 beransur pulih.

"Ayda dengan AJ Screamer memang tak boleh berpisah. Rancangan asal sepatutnya ada satu majlis resepsi untuk semua peminat.

"Tetapi disebabkan pandemik ini, kami kena batal dulu buat masa sekarang. Nabil nak kahwin dulu.

"Insya-Allah, nanti kalau semua dah okay, kami akan buat. Untuk hari ini, memang untuk keluarga terdekat sahaja," katanya lagi.

Ayda dan Nabil dijangka akan disatukan pada pukul 3 petang di sebuah masjid di ibu negara.

Majlis akah nikah pasangan sejoli ini akan ditayang secara langsung di akaun Youtube, Wuvv Show.

Terdahulu, Nabil dan Ayda mengikat tali pertunangan secara dalam talian pada 28 April lalu.