Meskipun bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini, namun Mousekeeters Malaysia, Wafiy dan Faiz akui tidak menghalang mereka untuk menyertai program Club Mickey Mouse yang pertama di Asia Tenggara.

Wafiy, 15, berkata meskipun sibuk menjalani penggambaran dan beberapa komitmen untuk program tersebut, namun dia sempat mencuri masa untuk mengulang kaji pelajarannya.

“Saya dan Faiz akan menduduki peperiksaan PT3 tahun ini, namun perkara itu tidak menhalang kami untuk melakukan persiapan dengan mengulang kaji pelajaran.

"Tiap kali tiada babak yang membabitkan kami, saya dan Faiz akan mengulang kaji pelajaran berdua.

"Kami sering membantu di antara satu sama lain, Faiz mengajar saya dalam mana-mana dalam mata pelajaran yang saya lemah, begitu juga sebaliknya.

"Pihak produksi juga sentiasa memperuntukkan waktu untuk kami menyiapkan kerja sekolah,” katanya kepada Astro Gempak.

Sementara Faiz, 15, memberitahu dia beruntung kerana guru dan rakan sekolah sering membantu jika dia ketinggalan beberapa kelas.

"Guru sekolah saya sudah maklum tentang penglibatan saya di dalam Mousekeeters.

"Setiap kali saya kembali ke sekolah guru dan rakan-rakan membantu menyediakan segalanya untuk saya belajar.

"Malah ibu bapa saya juga sudah menyediakan tutor tambahan di rumah, jadi tiada masalah," katanya.

Selain Wafiy dan Faiz, Mousekeeters pertama Malaysia terdiri daripada Charis, 26, yang bertindak selaku ketua pasukan Mousekeeters, Dheena, 13, Erissa, 14, dan Gabriel, 16. Tidak ketinggalan dua pemenang Club Mickey Mouse Star Search, Natasya, 14.

Club Mickey Mouse sebuah rancangan yang menghiburkan menerusi persembahan muzik, komedi, permainan dan penampilan tetamu selebriti.

Antara selebriti yang akan dijemput termasuklah aktres Nur Fazura, aktor dan penyanyi Fattah Amin, dan rapper hip-hop Joe Flizzow.

Menerusi 13 episod, setiap minggu penonton dihidangkan dengan pelbagai topik yang berbeza, lagu dan langkah tarian yang kreatif, permainan menarik serta artis jemputan yang mewakili pelbagai bidang.

Program ini akan menemui penonton setiap Jumaat, jam 1.30 petang di Disney Channel (Astro Ch 615) selain boleh ditonton melalui Astro GO dan On Demand.

Pelanggan juga boleh menyaksikan tayangan perdana Club Mickey Mouse di Disney XD (Astro Ch 617) dan Disney Junior (Astro Ch 613).

Teks oleh: Syafiqah Jalal