Pelakon Saharul Ridzwan mendedahkan mendapatkan nasihat daripada aktor Hairul Azreen bagi menjayakan watak sebagai Leftenan Hafiz dalam filem pertamanya, Coast Guard.

Menurut Saharul, dia ingin kelihatan sesuai dengan karakter yang dilakonkan di hadapan kamera.

"Saya dengan Hairul berkawan baik. Saya ada juga menerima nasihat daripadanya memandangkan sebelum ini dia berlakon dalam filem Paskal.

"Hairul ada berkongsi tip dengan saya mengenai kecergasan dan dia sendiri pun melakukan transformasi bentuk badannya dalam masa lima minggu.

"Kalau Hairul boleh buat, saya pun mesti boleh buat.

"Lagi pula, saya perlu nampak sesuai dengan karakter yang dilakonkan iaitu sebagai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia," katanya kepada Gempak.

Saharul ditemui ketika majlis pelancaran filem Coast Guard yang diadakan di The Rouge Club, Hotel Red Kuala Lumpur.

Tambah Saharul dia juga perlu menurunkan berat badan kerana mengalami berat badan yang berlebihan.

"Berat badan saya boleh dikategorikan sebagai berlebihan dan tidak ideal apabila mencecah 90 kilogram (kg).

"Saya berjaya menurunkan berat badan daripada 90 kg ke 83 kg sebelum ini.

"Sekarang ini saya masih turunkan lagi kepada 78 atau 75 kg," katanya lagi.

Mulai bulan Ogos, Saharul akan mula menjalani penggambaran filem Coast Guard yang akan dijalankan di sekitar Langkawi, Perlis dan Kuantan.

Selain Saharul, filem yang diarahkan oleh pengarah tersohor tempatan, Hashim Rejab turut menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Emma Maembong, Julia Farhana, Sabri Yunus, Aziz M Osman, Hazama, Black dan ramai lagi.