Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Bakal Menginjak Usia 68 Tahun, Salamiah Hassan Bersyukur Dikurniakan Kekuatan Menyanyi

Kamaruddin Razal
07/05/2019 21:51 MYT
Penyanyi senior berbakat besar, Salamiah Hassan bersyukur kerana masih dikurniakan kekuatan untuk meneruskan karier dalam bidang nyanyian.

Bakal berusia 68 tahun genap 10 Mei ini, Salamiah mahu terus menyanyi selagi dikurniakan kesihatan yang baik.

"Alhamdulillah, saya rasa bersyukur kerana di usia sekarang, saya masih berdaya untuk meneruskan karier dalam bidang nyanyian.

"Saya mahu meneruskan kerjaya sebagai penyanyi kerana enggan menyusahkan anak-anak. Saya mahu berdikari selagi terdaya.

"Masih saya ingat, ketika saya muda dahulu, saya bekerja keras untuk menampung kehidupan sebagai ibu tunggal dan menjaga anak-anak yang masih kecil.

"Bila anak-anak sudah membesar dan mempunyai kehidupan sendiri, barulah saya dapat memberikan fokus terhadap bidang nyanyian yang saya ceburi," katanya.

Salamiah ditemui di majlis memperkenalkan duta jenama Secret Modest by Asfarena di Seksyen 14, Shah Alam baru-baru ini.









Jenama pakaian Secret Modest by Asfarena milik usahawan Datuk Asfarena Samion melantik Salamiah sebagai duta.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih ada pihak yang menawarkan saya rezeki seperti ini.

"Saya terima kerana pemiliknya jenama ini sangat ikhlas. Apa yang penting, busananya eksklusif dan sesuai untuk saya gayakan ketika menghadiri sebarang acara," katanya lagi.
#Salamiah Hassah