Seorang bakal pengantin maut dipanah petir ketika sedang bergambar pre-wedding di sebuah kawasan pelancongan terkenal di Beijing China, pada Ahad.

Lapor akhbar The Sun, tragedi itu berlaku di Gunung Jade Dragon Snow di wilayah Yunnan.

Lelaki bernama Ruan itu terkena panahan petir semasa sesi penggambaran perkahwinan bersama tunangnya di Spruce Meadow yang merupakan lokasi pemandangan popular.

Mangsa dikejarkan ke hospital di mana dia disahkan meninggal dunia, lapor akhbar South China Morning Post.

Walaupun ribut petir melanda, pasangan itu dilaporkan memutuskan untuk meneruskan penggambaran mereka kerana telah dirancang. Mereka yang berdiri berhampiran mangsa bagaimanapun tidak cedera.

Pihak berkuasa cuaca tempatan telah mengeluarkan amaran guruh dan kilat pada tahap ketiga tertinggi di bawah sistem amaran empat peringkat China kira-kira setengah jam sebelum kilat menyambar.