Laman Utama

Bakal Potong Kek Raikan Anniversary Ke-40, Datuk Yusof Haslam Kata: “Dulu Isteri Saya Pernah Rasa Dipinggirkan, Sehingga…”

gempak
Maliah Surip
23/04/2023
07:46 MYT
Sponsor Banner
Bakal Potong Kek Raikan Anniversary Ke-40, Datuk Yusof Haslam Kata: “Dulu Isteri Saya Pernah Rasa Dipinggirkan, Sehingga…”
Pada saat anaknya, pengarah Syamsul Yusof berdepan dengan masalah rumah tangga yang belum berpenghujung bersama isterinya, Puteri Sarah, karyawan seni tersohor, Datuk Yusof Haslam berkongsi mengenai perjalanan dan liku perkahwinannya bersama Datin Fatimah Ismail.
Pemilik rumah produksi gergasi Skop Production itu memberitahu beliau dan isteri akan menyambut ulang tahun ke-40 perkahwinan mereka pada bulan Mei ini.
Meski usia perkahwinan sudah masuk 40 tahun, Yusof merancang untuk membuat sebuah majlis meraikan pernikahannya yang masih utuh sekaligus sambutan Aidilfitri.
“Insya-Allah saya merancang melakukan sambutan ulang tahun perkahwinan ke-40 pada bulan depan, serentak dengan majlis Hari Raya Aidilfitri. Kami mahu potong kek perkahwinan ke-40,” katanya sewaktu ditemui Gempak.
Mengenang tempoh perkahwinan empat dekad dengan Fatimah, Yusof mengaku pada awal perkahwinan, beliau pernah membuat isterinya jauh hati dan berasa terpinggir.
“Saya ingat masa muda, saya sibuk bekerja bangunkan, menegakkan dan berjuang untuk syarikat yang baru bertapak, isteri pernah berasa dipinggirkan kerana jarang berjumpa.
“Selalu saya balik, anak-anak pun sudah tidur. Of course isteri ada perasaan marah dan memberontak apabila suami selalu jauh dan sibuk.
“Tapi saya kena fikir tanggungjawab sebagai suami dan bapa. Isteri terasa hati, saya kena jernihkan keadaan. Suami dan isteri kepada pandai ambil hati,” cerita Yusof panjang lebar.
Ditanya bagaimana beliau menjadi seorang nakhoda kapal yang berjaya berlayar selama 40 tahun tanpa karam, Yusof mengakui perkahwinan bukan sebuah perjalanan yang mudah.
Namun, ia mampu bertahan jika sang suami dan isteri bijak menjaga perasaan masing-masing.
“Dalam perkahwinan, kedua-dua sang suami dan sang isteri memainkan peranan. Harus jaga perasaan antara satu sama lain.
“Jika berlaku pertengkaran, cepat selesaikan. Untuk mencari ketenangan hidup, minta maaf. Sang suami salah, minta maaf. Sang isteri salah, minta maaf. Minta maaf tidak rugi,” pesan Yusof.
Tambahnya lagi, jika suami bersalah dan meminta maaf, martabat seorang lelaki tidak akan jatuh dengan meminta maaf.
Malah figura berusia 68 tahun ini juga tidak malu mengaku jika berlaku pertengkaran atau membuat isterinya terasa hati, beliau akan cepat menyelesaikan masalah.
“Buang ego. Tak jatuh martabat suami bila minta maaf. Kita sebagai hamba Allah yang serba kekurangan, biarkan nampak hebat tapi hebat itu diberikan atas izin Allah.
“Kalau ada salah, minta maaf, itulah benteng dalam rumah tangga,” ujar Yusof.
“Kalau isteri saja ambil hati suami, tapi suami tak ambil hati isteri, bagi saya rajuk akan panjang, kalau dibiarkan isteri rajuk tak dipujuk masalah tidak akan selesai,” katanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live