Bakal sepentas dengan penyampai radio Isma Halil Hamzah menerusi teater muzikal kanak-kanak Siti Di Alam Fantasi, pelawak Johan berkata dia seorang yang profesional.

Johan ketika ditemui Gempak berkata, sebagai pemain industri dia harus bersikap profesional dan tidak akan memanjangkan lagi apa-apa isu.

“Saya bekerja dengan profesional dan selepas ini saya akan bertemu dengannya setiap hari dari bermula latihan sehinggalah hari terakhir pementasan.

“Ya, Isma pernah mengkritik pelawak yang menjadi penyampai radio…tetapi itu hak dia untuk memberikan pandangan,” katanya.

Johan ditemui ketika majlis sidang media teater muzikal tersebut di Selasar Pualam, Istana Budaya pada petang Rabu.

Tambah Johan, tidak banyak babak melibatkan dirinya dan Isma sepanjang menjayakan teater muzikal Siti Di Alam Fantasi.

“Seperti yang saya katakan tadi, kita bekerja secara profesional. Kalau saya jahat, saya boleh demand dan menolak untuk bekerja dengan dia.

“Tetapi siapalah saya untuk menutup periuk nasi orang lain hanya kerana isu yang tidak seberapa. Lagi pula dia tidak mengganggu periuk nasi saya atau keluarga saya pun,” katanya.

Terdahulu, Isma Halil Hamzah pernah mengkritik pelawak seperti Johan dan mempertikaikan kredibiliti mereka sebagai penyampai radio menerusi siaran radio Internet kendaliannya, Bapakku FM.

Selain Johan dan Isma Halil pelakon lain yang bakal bergandingan dalam teater muzikal Siti Di Alam Fantasi bermula 21 hingga 26 November ini ialah Abam Bocey, Erma Fatima, Janna Nick, Datuk Ziela Jalil, Datin Seri Umie Aida, Fizo Omar, Issey Fazlisham dan Ozlynn Waty.

Tiket sudah mula dijual di www.airasiaredtix.com dan kaunter box office di Istana Budaya dengan harga bermula RM38 sehingga RM108.

Diskaun 10 peratus turut diberikan kepada pelajar, warga emas dan OKU.