Hiburan
Bakal Timang Baby Girl, Hanez Suraya Obses Drama Korea
Pelakon Hanez Suraya yang sarat hamil tujuh bulan bakal menimang cahaya mata perempuan.
Selepas empat tahun melahirkan anak sulungnya, Putri Aleesya, Hanez bakal melahirkan cahaya mata kedua pada Julai ini.
"Alhamdulillah, saya dan suami bakal menerima cahaya mata perempuan. Biarpun saya berharap untuk mendapat cahaya mata lelaki untuk kelahiran kedua ini, saya tetap bersyukur dengan rezeki Allah.
"Sebenarnya, saya dan suami sudah mengetahui jantina anak kami semenjak kandungan berusia 19 minggu lagi.
"Saya dan suami tak kisah, asalkan anak yang bakal dilahirkan sihat walafiat dan cukup sifat," kata Hanez.
Hanez ditemui di majlis baby shower dan pelancaran produk lip tint Cake Pop di Hotel Grand Millennium sebentar tadi.
Mengakui terlalu minat dengan drama Korea dan muzik K-Pop sejak hamil anak kedua, pelakon telefilem Sayangku Damia ini sering menghabiskan masa menonton rancangan dari negara terbabit.
"Saya memang minat dengan budaya dan industri hiburan Korea. Namun, ketika saya hamil anak kedua, kegilaan itu semakin menjadi-jadi.
"Saya terpengaruh dengan gaya solekan mereka yang natural serta menggunakan lip tint sebagai pelengkap gaya.
"Dari situ, datanglah idea untuk mengeluarkan produk lip tint yang diberi nama Cake Pop.
"Datang dalam tiga seleksi iaitu Watermelon, Strawberry dan Orange, produk Cake Pop boleh didapati menerusi Instagram @cakepop.hq bermula hari ini," katanya lagi.
Hanez selamat bernikah dengan Romie pada 14 Mei 2015 di Masjid Putra, Putrajaya dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Putri Aleesya pada 30 Disember 2015.
Must-Watch Video