Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Bangga Ke Tak Boleh Cakap Melayu?” - Ryzal Ibrahim Beri Teguran, Tolong Malu Dan Sedar Diri!

Mya Amri
10/12/2023 00:55 MYT
Personaliti media sosial, Ryzal Ibrahim meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir pihak yang bangga mengakui tidak tahu berkomunikasi menggunakan bahasa kebangsaan.

Menurut Ryzal, perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan mereka merupakan warganegara Malaysia.

“Pada saya anda tak patut bangga sekiranya tidak tahu bercakap menggunakan bahasa kebangsaan sendiri.

“Sebab itu adalah bangsa kita. Saya kenal ramai orang Melayu di UK yang boleh berbahasa Melayu. Jadi tak ada alasan orang di Malaysia, bangsa apa sekali pun tidak mahir berbahasa Melayu.

“Kalau disebabkan sekolah Cina, Tamil, yang menyebabkan seseorang itu tidak boleh berkomunikasi atau faham dengan baik, itu bukan sebab sekolah.

“Zaman dulu lagi dah ada sekolah itu, tapi kenapa pakcik pakcik berlainan bangsa pada ketika itu boleh cakap Melayu dengan elok. Tak ada alasan kecuali alasan anda adalah malas,” katanya ketika ditemui Gempak.

Tambah Ryzal lagi, dia tidak menghalang sekiranya ada yang berminat untuk mempelajari pelbagai jenis bahasa namun dia menasihatkan, asal usul janganlah dilupakan.

“Boleh nak belajar pelbagai jenis bahasa, tak ada masalah tapi jangan lupa bahasa kita.

“Saya nak tekankan pada mereka mereka yang bangga dengan tidak boleh berbahasa Melayu, tidak faham, tolonglah malu. Tolonglah sedar diri kita di mana.

“Anda pergi belajar di sekolah antarabangsa sekali pun tidak memberi lesen untuk anda tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu,” jelasnya.

PILIHAN PEMBACA: Ryzal Ibrahim Mahu Anak Fasih Bahasa Ibunda - “Saya Utamakan Melayu Dulu Baru Korea”

Terdahulu, tular tangkap layar luahan seorang wanita yang mendakwa dia dan anaknya dibuli serta dimarahi ketika hadir ke sebuah pejabat kerajaan kerana tidak fasih bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.

Kongsi wanita tersebut, dia yang merupakan rakyat negara ini tidak fasih berbahasa Melayu kerana bersekolah di Singapura.

Bagaimanapun, perkongsian tersebut meraih kecaman daripada netizen yang menyifatkan individu yang memiliki kewarganegaraan wajib mahir bertutur bahasa Melayu.

#Tular #Bahasa Melayu #Bahasa #Teguran #Ryzal Ibrahim #Bahasa Kebangsaan #Tak Boleh Cakap Melayu
;