Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Bangkitkan Nostalgia...Ini Lima Lagu Raya Malar Segar Kegemaran Ramai

Asraf Aided
20/05/2020 09:24 MYT
Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang beberapa hari sahaja lagi. Seperti biasa, ramai yang akan memainkan lagu raya di rumah mahupun ketika memandu untuk membangkitkan 'mood' musim perayaan.

Meskipun banyak lagu raya baru dihasilkan oleh barisan artis zaman kini, namun lagu-lagu raya daripada era terdahulu tidak pernah dilupakan, malah masih digemari sehingga kini.

Di sini, Gempak senaraikan lima lagu raya malar segar yang dinyanyikan oleh penyanyi hebat era terdahulu.

Dendang Perantau



Siapa sahaja yang tidak menggemari lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramleee ini. Dendang Perantau mempunyai alunan melodi klasik disulami kisah dan perspektif seorang perantau yang tidak pulang beraya di desa.

Selain itu, lagu ini juga mengisahkan tentang kenangan lama yang tak akan berulang lagi.

Selamat Hari Raya



Lagu nyanyian Puan Sri Saloma ini sudah cukup untuk menggambarkan kemeriahan Syawal yang diraikan oleh semua lapisan masyarakat. Alunan muziknya juga rancak disertai lirik menceritakan tentang umat Islam yang berhias diri meraikan hari kemenangan.

Nostalgia Aidilfitri



Lagu dendangan biduanita Allahyarham Sharifah Aini ini juga tidak kurang hebatnya. Alunan muzik bercampur elemen timur tengah dalam lagu ini amat digemari ramai sehingga hari ini.

Satu Hari Di Hari Raya



Lagu raya daripada sifu Datuk M Nasir ini juga tak lapuk ditelan zaman. Lagu ini mengisahkan tanda kebesaran Allah pada hari kemenangan selepas sebulan berpuasa.

Selain itu, lagu ini turut menggambarkan rasa syukur dan kegembiraan seseorang bertemu ibu bapa tersayang meraikan Aidilfitri bersama.

Salam Aidilfitri



Lontaran vokal Datuk Jamal Abdillah tidak pernah menghampakan. Nyanyian Jamal dalam lagu ini cukup untuk memuaskan halwa telinga para peminatnya.

Pembukaan lagu ini didahului dengan ucapan salam untuk semua umat Islam yang meraikan Hari Raya Aidilfitri, kemudian diikuti dengan pelbagai situasi mengaitkan insan-insan tersayang.

Demikianlah lima lagu raya malar segar pilihan Gempak. Antara lagu raya lain yang turut menjadi kegemaran ramai adalah Balik Kampung, Indahnya Beraya Di Desa, Joget Aidilfitri dan banyak lagi.

Semoga lebaran kali ini membawa seribu kemanisan dan keberkatan untuk kita semua, salam Aidilfitri buat semua pembaca Gempak.
 
#Lagu raya #Nostalgia #Malar Segar