“Banyak Lagi Lelaki Bujang Kenapa Nak Suami Orang…” - Nama Tiba-Tiba Kena Petik, Sophia Albarakbah Diserang Netizen
Mya Amri
31/01/2023 01:48 MYT
31/01/2023 01:48 MYT
Nama pelakon Sophia Albarakbah tiba-tiba menjadi hangat sehingga ada netizen mendakwa dan menggelarnya sebagai ‘wanita penyondol’.
Perkara tersebut tercetus selepas aktres Bella Astillah mendedahkan seorang aktres yang bergandingan dengan suaminya dalam sebuah drama mengakui menyukai Aliff secara terbuka kepadanya.
Disebabkan itu juga, akaun media sosial Instagram dan TikTok Sophia dibanjiri netizen dengan komen berbaur kecaman yang memintanya supaya tidak menjadi pemusnah rumah tangga orang lain.
Rata-ratanya menasihatkan Sophia supaya jangan menghancurkan kebahagiaan seorang wanita yang bergelar isteri.
Antara komen yang diberi netizen:
“Berlakon sahaja sudahlah, jangan ada niat menyondol laki orang,”
“Kerja adalah kerja, tolong respek rakan sekerja, lagi satu jadilah permata yang mahal,”
“Awak cantik, banyak lagi lelaki bujang… Jangan hancurkan hati seorang isteri sebab satu hari nanti awak akan berada di tempat yang sama iaitu menjadi isteri,”
“Awak cantik tau… Carilah yang bujang, bukan suami orang…”
“Awak cantik sangat… Banyak lagi lelaki bujang, kenapa nak suami orang. Janganlah hancurkan perasaan wanita lain,”
Bagaimanapun Sophia tidak membalas mana-mana komen dan mengambil pendekatan untuk berdiam diri.
Terdahulu, Bella mendedahkan seorang heroin drama membuat pengakuan mengatakan dirinya sudah jatuh cinta dengan suaminya, pelakon Aliff Aziz.
Bimbang kejadian lama terjadi lagi, Bella turut memberitahu pelakon wanita itu juga setiap hari menghubungi suaminya.
Tanpa mendedahkan nama, Bella bagaimanapun menasihatkan agar aktres tersebut menjaga maruah sebagai seorang wanita dan berhenti mengganggu suami orang.