Nampaknya, ramai juga yang tidak berpuas hati dengan apa yang telah berlaku menerusi episod terbaharu drama bersiri I-Tanggang siaran malam semalam.

Menerusi komen-komen yang ditinggalkan oleh pengguna Twitter, ada antara mereka yang mempersoalkan mengapakah Erma masih hidup walaupun ‘cubaan’ bunuh telah dilakukan ke atasnya.



“Jap, Erma tak mati? Seriuslah dah bertubi-tubi kena tikam,” tulis seorang penonton.

Begitupun, ada seorang pengguna Twitter mengharapkan yang Erma tidak sepatutnya mati supaya dia merasai pembalasan terhadap apa yang telah dilakukan kepada anaknya.



“Erma tak boleh mati, biar dia dapat balasan setimpal dengan apa yang dia buat dekat anak dia. Tapi elok juga dia mati hahaha. Stress aku gini,” ulas pengguna Twitter tersebut dalam nada yang sangat jujur.

Namun, terdapat seorang netizen yang turut melahirkan rasa kasihan terhadap Syafiq, yang dilihat melalui kehidupan yang sangat malang.



“Paling kesian dalam I-Tanggang ni Syafiq lah. Darah selepas darah, adik-beradik nak kena tanggung, lepas ni diri sendiri pula entah apa pula nasib.

“Orang lain tak ada famili macam dia bolehlah nak sembang. Kalau aku, entahlah,” luah netizen berkenaan.

I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay, penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay pula merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.

Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya, Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) lalu menubuhkan kumpulan sembang ‘I-Tanggang’.

Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofea, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofia Jane dan Andy Teh drama I-Tanggang disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!