Pelakon Fasha Sandha mengakui suaminya, Aidil Aziz tidak membenarkan dia berlakon sepanjang kehamilan.

Fasha berkata atas nasihat suami, dia kini sedang berehat seketika daripada berlakon dan hanya fokus dalam komitmen untuk promosi drama dan sebagai duta.

“Ada banyak tawaran dan saya tolak kerana suami tak benarkan. Puas saya pujuk.

“Tiga hari tiga malam pujuk pun tak berhasil juga. Jadi kena ikutlah,” katanya.

Sementara itu Aidil berkata, buat masa ini biarlah dia sahaja yang keluar bekerja.

“Biarlah dia berehat dan duduk di rumah. Memasak dan bersama anak-anak. Biar saya yang keluar bekerja,” katanya yang sedang menjalani penggambaran untuk sebuah drama yang bakal ditayangkan di Astro.

Dalam pada itu, kata Fasha dia kekok duduk di rumah kerana sudah biasa bekerja.

“Kita dah biasa bekerja, jadi bila duduk rumah tu rindu pada suasana kerja,” katanya kepada HLive!

Fasha kini sedang hamil lima bulan dan dijangka melahirkan bayi perempuan di antara Julai dan Ogos ini.

Menerusi perkahwinan pertamanya, bintang jelita itu dikurniakan dua anak, Putra Rayfal Ramli, 7, dan Putri Raysha Jemyma, 5.

Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123).