Pelakon Elfira Loy mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat ujian swab secara bergerak ke rumahnya bagi mengurangkan risiko.

Jelas Elfira, dia mengambil keputusan untuk membuat ujian tersebut selepas mulai keluar untuk menjalani penggambaran baru-baru ini.

"Saya tak pernah teringin untuk membuat ujian swab kerana percaya saya sentiasa berada di rumah, saya selalu sanitasi dan memakai pelitup muka apabila keluar rumah.

"Tapi dengan keadaan sekarang ni, kita tengok banyak kes orang yang positif tak tahu pun macam mana dia boleh positif.

"Memandangkan saya juga keluar penggambaran, saya putuskan untuk melakukan ujian itu di rumah," kongsinya menerusi kemas kini akaun Instagramnya.



Dalam pada itu, Elfira memberitahu dia memilih untuk melakukan ujian swab di rumah ekoran orang ramai mula membuat ujian sama di kebanyakan tempat.

"Kumpulan Megaklinik Zahran boleh datang rumah, cuma kena tempah awal dan tengok kawasan juga sebab setiap hari pasukan mereka diorang keluar buat mobile test.

"Banyak tempat dah mulai ramai orang beratur atau kena tunggu giliran. Jadi kalau korang nak test juga untuk boleh buat je rapid test (RTK) untuk tahu keputusan yang cepat," tambahnya.

Hasil ujian itu maklum Elfira dirinya negatif Covid-19.