Bapa kepada jaguh seni bela diri campuran (MMA) Khabib Nurmagomedov meninggal dunia pada Jumaat dipercayai akibat jangkitan COVID-19, lapor Awani

Abdulmanap, 57 tahun, sebelum ini telah dilaporkan kritikal dan koma akibat jangkitan paru-paru (pneumonia).

Allahyarham dimasukkan ke hosipital pada 26 April lalu selepas disyaki mengidap penyakit tersebut dan terkena serangan jantung.

Abdulmanap merupakan antara individu yang bertanggungjawab melatih Khabib sejak kecil sehingga anaknya kini bergelar juara lightweight UFC.

Dia juga diiktiraf sebagai bapa sukan MMA di Dagestan kerana berjaya melahirkan beberapa juara dunia serta juara Olimpik dalam sukan gusti roman-greko, sambo dan judo.

Sebelum ini, Khabib menyampaikan berita sedih mengenai penyakit bapanya itu menerusi sesi ‘live’ di akaun Instagramnya pada Mei lalu.

“Banyak cakap-cakap dan berita mengenai bapa saya di internet. Dia sekarang berada dalam keadaan kritikal akibat virus ini.

“Dia berada dalam keadaan sukar, sangat sukar. Kami meminta kepada Allah agar Dia mengembalikannya kepada kami,” luah Khabib.

Jelasnya, jangkitan virus itu memberi kesan kepada jantung bapanya kerana tahun lalu Abdulmanap difahamkan pernah menjalani pembedahan pertama.

Abdulmanap, bagaimanapun, disahkan positif COVID-19 selepas keluarganya merujuk kepada rawatan di sebuah hospital tentera di Moscow, Rusia, sebelum dilaporkan koma sebaik menjalani pembedahan jantung.

Sumber: Astro Awani