BERITA
Bapa Nazak, Dua Beradik Bergaduh Dalam Wad Dakwa Selisih Faham Nak Kebumi Di Mana
Dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret Melaka pada Khamis atas pertuduhan melakukan gaduh gempar di sebuah wad Hospital Melaka, Januari lalu.
Tertuduh, Normala Othman, 47, dan Julaiha Othman, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Uthman Abd Ghani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama telah melakukan gaduh gempar dengan melakukan pergaduhan di tempat awam.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 2.50 petang di Wad 42, Katil 2A Hospital Melaka dalam daerah Melaka Tengah, pada 19 Januari 2025.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau dengan denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh.
Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Mawardi Zainudin bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan mereka masing-masing menjaga ibu yang sakit, anak orang kurang upaya mental dan menanggung anak-anak yang masih kecil.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM800 setiap seorang dan menetapkan 3 Jun depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Difahamkan, pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham antara dua beradik terbabit berhubung hal persiapan bagi lokasi pengebumian bapa mereka, yang kemudiannya disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video