HIBURAN

Baru Umur 14 Tahun, Anak Aziz M Osman Bakal Sambung Belajar Di Universiti! - "Saya Nak Sambung Di Luar Negara Tapi ..."

Ainun Md Zooki 02/03/2025 | 01:55 MYT

Anak kepada Aziz M Osman, Ara Aziz berkongsi dirinya bakal menjejakkan kaki ke dalam universiti pada usia yang muda.

Menurut Ara, atau nama sebenarnya Puteri Azzahra, 14, dia kini mengikuti program fast track di sebuah sekolah antarabangsa, yang membolehkannya melangkau beberapa tahun dalam sistem akademik.
“Haah saya masuk fast track dalam pembelajaran. Saya lompat beberapa tahun. Sepatutnya saya berada dalam tahun sembilan tapi sekarang dah tahun ke-11 dalam IGSCE.

“Untuk maklumat, peperiksaan IGSCE ni macam SPM tapi untuk sekolah British. Dan untuk tahun hadapan Insya Allah saya boleh masuk belajar dalam peringkat Universiti,” katanya kepada Gempak.

Ara Aziz berkongsi berita tersebut ketika menghadiri sidang media pelancaran lagu raya dan muzik video Gen-Z yang diadakan di Getai @ A Quite Place, Bukit Bintang baru-baru ini.

Minat Psikologi, Rancang Sambung Belajar di Luar Negara

Ditanya mengenai hala tuju pendidikannya, anak gadis itu mengesahkan dia bakal menyambung pengajian dalam bidang Psikologi kerana subjek tersebut telah menarik perhatiannya sejak beberapa tahun lalu.
Tambahnya lagi, dia memilih bidang psikologi kerana minat yang mendalam serta keinginannya untuk memahami lebih lanjut tentang ilmu tersebut.
“Saya akan sambung belajar dalam bidang Psikologi.

“Sebab saya memilih bidang ini kerana saya meminatinya. Saya mula meminati bidang ini dalam beberapa tahun lepas membuatkan saya rasa mahu pelajari bidang ini dengan lebih mendalam.

“Saya sebenarnya nak pergi sambung belajar di luar negara tapi sebab saya masih lagi kecil lagi, jadi saya buat sikit dekat Malaysia dahulu dan bila saya sudah capai umur yang dewasa, barulah saya akan sambung di luar negara,” kongsinya.

Utamakan Pelajaran Sebelum Kembali Aktif dalam Seni

Walaupun kini sedang aktif dalam dunia hiburan, Ara turut menjelaskan fokus utamanya ketika ini adalah menyelesaikan pengajiannya seawal mungkin sebelum memberi sepenuh perhatian kepada kerjayanya dalam industri seni.

BERITA BERKAITAN: Abby Abadi Bangga Marissa Dania Ceburi Bidang Perniagaan, Dedah Perangai Sebenar Anak - “Dari Tak Pandai Serba Serbi, Malu Itu Ini…”

BERITA BERKAITAN: Alami Masalah Pembelajaran Bukan Penghalang Anak Achey Dapat 6A & 3 Anugerah! - “Ada Budak Tuntut Hadiah Sebab…”

BERITA BERKAITAN: Budak Genius Masuk UM Pada Usia 12 Tahun

BERITA BERKAITAN: Kecoh Budak Didakwa Bawa iPad Pada 1941

Bagi dirinya, pendidikan sangat penting dalam kehidupannya, justeru dia ingin menyelesaikan proses pembelajaran dengan lebih cepat.

“Saya kan nak habiskan sekolah dengan lebih awal jadi, saya nak fokus belajar terlebih dahulu dan selepas itu barulah saya nak fokus kembali dalam dunia seni.

“Bagi saya, pembelajaran adalah penting dalam kehidupan saya,” jelasnya.
Sekadar info, pengarah Aziz M Osman pernah mendedahkan dia memilih untuk menghantar anaknya, Ara, ke sekolah antarabangsa kerana mahu anaknya dibesarkan dalam persekitaran yang lebih positif.
Untuk rekod, Ara merupakan anak ketujuh Aziz M Osman bersama ibunya, Puteri Lily Lokman. Menerusi perkahwinan terdahulu, Aziz turut mempunyai enam orang anak.
Aziz dan Puteri Lily berkahwin pada 6 Jun 2010, namun dilaporkan berpisah pada Julai 2023. Selain Ara, mereka turut dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Aryan Aziz.

#Universiti #Belajar #Aziz M Osman #Muda #Usia #Psikologi #Sambung #Bakal #Bidang #Ara Aziz