Pelakon Razzuan Rosli kini lebih yakin untuk menyanyi secara langsung.

Menurut Razzuan, walaupun tiga kali pelancaran single Akur ditangguhkan namun dia beranggapan segala yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

“Sebenarnya single Akur ini dah siap dirakam pada tahun 2020 namun terpaksa ditunda disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0).

“Kira-kira tiga kali juga ditunda sebelum dapat dilancarkan tapi tak mengapalah sebab saya fikir setiap kejadian yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

“Mungkin kalau dilancarkan pada ketika itu saya sendiri rasa tak yakin untuk menyanyi secara langsung.

“Saya pun bukannya penyanyi yang betul-betul penyanyi, saya mula sebagai pelakon jadi memerlukan banyak latihan.

“Hikmahnya, sepanjang ditunda saya banyak berlatih dan sekarang ada keyakinan untuk menyanyikan lagu itu secara langsung,” katanya ketika ditemui Gempak.

Berkongsi mengenai lagu Akur, Razzuan berkata, lagu itu mengisahkan tentang bagaimana pasangan kekasih terpaksa akur dengan keputusan yang dibuat dalam perhubungan mereka.

"Bagi saya, memandangkan ini adalah single pertama, Akur mempunyai tarikan yang tersendiri.

“Lirik lagu juga memainkan peranan di mana penggunaan perkataannya bukanlah yang sering digunakan di luar.

"Lagu ini mengisahkan mengenai kisah cinta dan perhubungan yang putus di tengah jalan. Jika mengikut jalan cerita lagu ini, si wanita meninggalkan kekasihnya kerana nak sambung belajar.

"Lelaki itu terpaksa terima dan akur keputusan dibuat. Wanita itu juga akur terpaksa tinggalkan kekasih demi sambung belajar dan masa depan.

“Lagu ini kena pada sesiapa saja yang melalui situasi di mana terpaksa akur dengan apa yang berlaku," jelasnya.

Lagu Akur yang merupakan hasil ciptaan Shah, Tam Cobain, Sin Syim dan lirik oleh Sulu Sarawak ini diterbitkan oleh Universal Music Malaysia.

Akur juga tsudah berada di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala muzik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube, Razzuan Rosli.