Setelah hampir tiga bulan ‘berehat’, peserta Ceria Megastar kembali ke ‘pentas di rumah’ untuk merebut gelaran juara bagi program pencarian bakat cilik itu. Sebelum ini, Ceria Megastar menghentikan siaran langsungnya bagi mematuhi Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) yang diwajibkan kerajaan Malaysia pada Mac lalu.

Dengan norma baharu, kesemua peserta membuat persembahan di rumah melalui panggilan dalam talian secara langsung, manakala para juri tetap (Ernie Zakri dan Zizan Razak) bersama juri jemputan, Mark Adam, menilai persembahan mereka di studio! Hos, Nabil Ahmad, dan penasihat persembahan (Datuk Syafinaz, Alam Wakaka, dan Chubb-E) di studio juga berinteraksi dengan peserta melalui panggilan dalam talian.

Dicabar dengan tema ‘Luar Kotak’ bagi minggu ke-4, lapan peserta – Amira, Group 17, Kowachee, Yaashwin, Adinda, Nana, Ija, dan Haiqal – kelihatan begitu teruja apabila dapat beraksi semula di pentas besar, walaupun ‘pentas’ itu hanyalah di rumah! Malah, persembahan terbaik dari peserta bakat vokal, Nana, sekali lagi menerima anugerah ‘Star of the Week’! Sebelum ini, Nana juga pernah dinobatkan gelaran itu pada minggu ke-3.

Namun, usaha kumpulan bakat lakonan Group 17 yang dianggotai pasangan adik beradik comel itu terhenti di sini sahaja apabila diumumkan sebagai peserta yang tersingkir. Walaupun telah membuat yang terbaik melakonkan sketsa pendek Hang Jebat dan Hang Tuah, dan menerima pujian dari juri tetap, Zizan Razak, mereka gagal untuk kekal sebagai peserta ‘Ceria Megastar’.

Bagi minggu ke-5 pula, para peminat boleh mengundi sendiri tema persembahan bagi peserta kegemaran mereka!

Apakah tema yang bakal dipilih? Saksikan ‘Ceria Megastar’ setiap Sabtu, jam 9.00 malam menerusi saluran Astro Ceria (611) dan Ceria HD (631) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. Siaran secara serentak juga akan dipancarkan di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (124).