Pengendali laman sosial Facebook (FB) Kelab Bola Sepak Portimonense SC Malaysia, memohon warganet agar bersabar dan menjaga nama baik Safawi Rasid.

Ia susulan peminat bola sepak Malaysia menyerang FB Portimonense SC kerana tidak menurunkan Safawi pada aksi Liga Primeira Portugal minggu lalu menentang Santa Clara.

Rata-rata berang dan kecewa kerana menyangka Safawi bakal disenaraikan bersama pasukan selepas FB rasmi kelab berkenaan melabel nama tonggak utama Harimau Malaya itu seolah memberi harapan pemain itu akan beraksi.

Susulan itu, ratusan penyokong dan netizen tempatan mula mengecam Portimonense SC dengan mendakwa kelab berkenaan sengaja menggunakan nama pemain Harimau Malaya itu untuk mendapatkan perhatian di laman sosial.

“Aduh korang ni jangan macam-macam. Jagalah nama Safawi dan Malaysia. Tolonglah bersabar…Insya-Allah Safawi akan debut kali pertama bersama skuad senior Portimonense,” tulis pengendali pada sebuah hantaran.

Dalam pada itu memetik laporan Harian Metro, Safawi Rasid turut memohon peminat bola sepak negara supaya menjaga adab dan nama Malaysia terutama di laman sosial rasmi kelabnya, Portimonense SC.

"Saya harap penyokong bersabar. Saya tahu mereka tidak sabar untuk melihat saya tampil buat kali pertama tetapi kita jaga adab kita dan nama Malaysia kita. Apapun, terima kasih sentiasa memberi sokongan kepada saya.

"Insya-Allah sampai rezeki saya, saya akan membuatkan penyokong gembira," katanya.

Aduh korang ni jangan macam2 jaga lah nama Safawi dan Malaysia. Tolonglah bersabar ?‍♂️?‍♀️ InsyaAllah Safawi akan...

Posted by Portimonense S.C. Malaysia on Monday, 2 November 2020