Hiburan
"Bayangkan Seorang Hamba Yang Tidak Berkahwin Tapi..." - Rizalman Titip Ucapan Istimewa Buat Hari Lahir Anak Angkat
Pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman berkongsi ucapan istimewa sempena ulang tahun kelahiran anak angkatnya, Aali Nail yang ketujuh.
Perkara itu dikongsi menerusi entri di akaun Instagram miliknya buat tatapan wargamaya.
Rizalman meluahkan rasa syukur kerana segala urusan membesarkan Aali selama tujuh tahun dipermudahkan oleh Yang Maha Esa.
"Bayangkan seorang hamba yang tidak berkahwin tetapi dapat melalui kenikmatan memelihara zuriat yang bukan dari dirinya sendiri tanpa melalui proses itu dan kemudiannya dipermudahkan memelihara anak itu sehingga mencapai umur tujuh tahun pada hari ini adalah satu kejadian yang lahir disebabkan oleh Dzat Allah yang Maha Kaya," tulisnya sebagai kapsyen.
Dalam pada itu, Rizalman turut menitip doa agar dikurniakan cahaya keimanan dalam dirinya dan meminta agar Tuhan memberi kebaikan kepada Aali.
"Aku meminta dan bergantung doa supaya kau berikanlah cahaya keimanan yang menerangi jiwa ini, dipanjangkan usianya, disolehkan peradabannya, diampuni segala dosanya, diluruskan jalannya, diluaskan rezekinya, dipenuhi jua dadanya dengan ilmu serta dipelihara kehidupannya di dunia dan akhirat.
"Juga kau bersihkanlah kedua ibu bapanya dari sebarang dosa, jadikanlah kehidupan kami sebagai keluarga kembali, di alam Baqa," tambahnya.
Meninjau ruangan komen, rata-rata pengikut Rizalman turut menulis ucapan dan mendoakan kesejahteraan buat Aali dan mengaminkan doa Rizalman.
Selain Aali, Rizalman turut mempunyai seorang lagi anak angkat iaitu Umar Nail yang kini berusia 17 tahun.
Must-Watch Video