Hiburan
Bayaran Hanya Cukup Untuk Isi Minyak Kereta, Amai Kamarudin Lebih Peka Sebelum Terima Tawaran Berlakon
Pelakon Amai Kamarudin mendedahkan sebab utama dia memilih untuk berlakon filem dan karya komersial berbanding drama.
Jelas Amai, faktor bayaran yang menyebabkan dia menolak tawaran untuk terlibat dalam sesebuah drama.
"Bukan saya tidak ingin berlakon drama atau telefilem tetapi bayaran yang dikenakan itu tidak kena dengan tanggungjawab yang saya pikul.
"Saya pernah menerima tawaran dengan bayaran yang hanya mencukupi untuk mengisi minyak kereta sahaja.
"Pihak tersebut seolah ingin mengambil kesempatan serta menggunakan prestasi yang ada pada diri saya.
"Kalau orang menganggap saya diva, saya boleh tunjukkan kelebihan saya. Hasil kerja yang saya berikan selama ini adalah 100 peratus.
"Pernah sekali, pengarah sendiri yang hubungi saya untuk bercakap soal bayaran. Saya juga pernah disuruh untuk datang dahulu ke set penggambaran tanpa mengetahui berapa jumlah yang akan dibayar.
"Saya seorang yang mementingkan watak dan skrip justeru soal bayaran sering kali terlepas pandang. Saya berasa tidak seronok apabila dipermainkan seperti itu," katanya kepada Gempak.
Amai ditemui usai majlis tayangan filem 7 Hari Kisah Cinta Langkawi di e@Curve, Damansara semalam.
Tambah pelakon utama filem Temuan Takdir ini, dia menegaskan dirinya akan mementingkan soal bayaran sebelum menerima sebarang tawaran berlakon.
"Sekarang ini benda pertama yang akan saya tanya adalah bayaran. Jika bertepatan, saya akan menerima tawaran tersebut. Kalau sebaliknya, saya akan terus menolak.
"Alhamdulillah sehingga kini tawaran berlakon tidak pernah putus sejak saya menceburi bidang ini," katanya lagi.
Selain Amai, filem 7 Hari Kisah Cinta Langkawi turut dibintangi oleh pelakon lain seperti Mark Adam, Josiah Hogan, Peter Davis, Chi Azim, Sharifah Shahira dan ramai lagi.
Filem arahan Anwardi Jamil ini ditayangan di pawagam bermula 31 Oktober 2019.
Must-Watch Video