Bekas pemain badminton kebangsaan, Roslin Hashim yang pernah mencetuskan kontroversi berkaitan perkahwinannya sebelum ini bernikah buat kali keempat.

Difahamkan majlis resepsi Roslin dan isteri berlangsung di dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Roslin yang pernah dinobatkan sebagai pemain nombor satu negara dan dunia berkahwin dengan pasangannya seorang anggota polis dikenali sebagai Ruzie Halim.

Beliau yang ditemui pada majlis tersebut berkata, perkahwinan itu adalah episod baru dalam kehidupannya dan berharap akan kekal hingga ke akhir hayat.

“Alhamdulillah perkahwinan ini adalah episod baharu dalam hidup dan mengharapkan akan kekal hingga akhir hayat.

“Saya tetap memberikan fokus kepada badminton walaupun sudah berkahwin kerana itu adalah mata pencarian,” katanya ketika ditemui, di sini.

Difahamkan resepsi kedua akan berlangsung di Kelantan pada 20 Mac depan.

Sebelum ini, perkahwinan Roslin mencetuskan kontroversi apabila menceraikan isterinya Faizah Mohamed, 35, selepas 12 hari bergelar suami isteri.

Selain Faizah yang dinikahi pada 30 Januari 2007, Roslin pernah berkahwin buat kali kedua dengan Pengarah Pemasaran dan Promosi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Nurhayati Othman, 41, 9 Julai 2010 dan sempat melayari bahtera rumah tangga dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Belum reda dengan kontroversi terbabit, Roslin mengaku berkahwin kali ketiga dengan seorang wanita pada 2011 namun identiti pasangan itu dirahsia.

Sumber: Harian Metro
Foto: Instagram Roslin Hashim & lifestyleweddings.co