Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Hiburan

Belajar Bahasa Isyarat, Ayda Jebat Menangis

Kamaruddin Razal 08/02/2018 | 12:00 MYT
Bagi menjayakan watak sebagai seorang gadis kurang upaya pendengaran dan pertuturan, pelakon dan penyanyi Ayda Jebat belajar cara untuk berkomunikasi dalam bahasa isyarat.
Berguru dengan tenaga pengajar berpengalaman untuk projek terbaru dalam telefilem Aku Nazmi, Ayda mengakui sukar untuk dirinya mempelajari bahasa isyarat.
"Susah sebenarnya belajar bahasa isyarat. Selain mempelajari pergerakan tangan, saya juga harus memasukkan emosi untuk menjayakan watak gadis kurang upaya.
"Ketika dalam proses pembelajaran, perasaan bercampur baur dan saya hampir menangis. Tak boleh saya bayangkan bagaimana rasanya jika saya berada di tempat mereka," kata Ayda.
Tambah penyanyi lagu Pencuri Hati ini, pengalaman tersebut membuatkan dirinya lebih menghargai golongan kurang upaya.
"Pengalaman ini membuatkan saya lebih bersyukur dan memberikan kesedaran tersendiri kepada saya agar lebih menghargai golongan kurang upaya.
"Perasaan mereka patut diselami dan kita harus terus menghargai golongan kurang upaya. Insya-Allah, minggu depan saya akan memasuki set penggambaran telefilem arahan sutradara Jinggo di Melaka.
"Selain saya, telefilem ini turut dijayakan oleh Jay Iswazir, Dayana Roza, Sheila Rusly dan ramai lagi," kata Ayda.
Dalam perkembangan terbaru, Ayda tercalon dalam kategori Aktres Pilihan dan Pasangan Pilihan (gandingan bersama Syafiq Kyle) menerusi drama bersiri Dekatkan Jarak Kita di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2018.
Anugerah DFKL 2018 mempertandingkan 11 kategori dan calon akan ditentukan berdasarkan jumlah undian.
Peminat boleh mengundi bakal pemenang menerusi laman web www.dfkl.com.my sehingga 1 Mac ini.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Ayda
#pelakon #Ayda Jebat #Pelakon
;