Belum Bersara, Ini Sebab Aeril Zafrel Tolak Tawaran Berlakon Selama Setahun
Syafiqah Jalal
02/09/2023 09:33 MYT
02/09/2023 09:33 MYT
Pelakon dan usahawan, Aeril Zafrel akui sudah setahun menolak tawaran berlakon kerana memberi tumpuan kepada bidang perniagaan.
Kata Aeril yang juga aktif di laman sosial TikTok, dia kini memikul tanggungjawab yang berat selepas mempunyai 40 orang kakitangan dalam perniagaannya.
"Bila sudah sibuk dengan perniagaan dan bergelar 'TikTokers' sepenuh masa, rindu terhadap bidang lakonan itu ada.
“Tapi bila mengenang semula tanggungjawab yang perlu diberi perhatian, saya kena dahulukan mana yang penting.
"Saya sudah ada 40 orang kakitangan dalam bidang perniagaan. Jadi satu kerumitan juga kalau saya tinggalkan mereka untuk fokus dengan perkara lain (lakonan),” katanya kepada Gempak.
Baru-baru ini Aeril dinobatkan CEO TikTok dalam anugerah TikTok Award Malaysia 2023 bagi kategori Celebrity of The Year.
Pun begitu, suami kepada pelakon Wawa Zainal itu memberitahu dia tidak akan bersara dalam dunia lakonan meskipun sudah menceburi pelbagai bidang lain.
"Kejayaan saya hari ini bermula dengan kerjaya sebagai selebriti (pelakon). Jadi saya tidak mahu meninggalkan ‘asas’ saya.
"Walaupun saya sudah berada pada satu tahap berbeza suatu hari nanti, bidang lakonan tetap saya akan buat,” katanya lagi.
Justeru, Aeril memberitahu dia perlu lebih selektif sebelum menerima tawaran lakonan supaya ia berbaloi dan tidak mengganggu urusan perniagaannya.
“Sekarang saya lebih melihat pada karya dan dengan siapa saya akan bekerjasama. Jadi terpulang pada saya sama ada mahu buat atau tidak.
“Bila sudah sampai satu tahap, saya hanya mahu dikelilingi dengan orang-orang yang kita selesa,” kongsinya.