Hiburan
Ben Amir Bakal Buka Ladang Organik, Tawar Harga Tanaman Mampu Milik
Pelakon Ben Amir sedang dalam perancangan untuk membuka sebuah ladang khusus untuk tanaman organik.
Tanaman organik merupakan sayur-sayuran yang ditanam dengan cara semulajadi tanpa menggunakan sebarang bahan beracun.
“Segala yang berada di dalam ladang itu nanti menggunakan bahan tempatan dan organik.
“Saya akan pastikan tiada penggunaan bahan kimia langsung,” ujarnya ketika dihubungi Gempak.
Bahan organik juga sering disimpulkan sebagai barangan yang mahal dan tidak semua orang mampu untuk menggunakannya dalam kehidupan harian.
Namun bagi Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 29, dia akan pastikan tanaman organiknya berada dalam linkungan harga mampu milik untuk dinikmati ramai orang.
“Bila dengar organik, mesti orang ingat mahal. Saya nak ubah pemikiran tu.
“Saya nak berkongsi bahan organik yang boleh dibeli oleh orang ramai. Tidaklah terlalu murah tapi pasti ramai yang akan mampu beli,” katanya lagi.
Malah, rahsia rambut Ben yang mencuri tumpuan netizen sekarang adalah kerana produk hasil buatan sendiri.
“Memang saya menggunakan produk buatan sendiri untuk penjagaan rambut.
“Saya akan kongsikan dengan semua nanti,” kata pelakon kelahiran program Hero Remaja ini.
Dalam perkembangan lain, Ben bakal bergandingan bersama Mira Filzah menerusi sebuah drama berjudul Sweet Dreams.
Drama arahan Michael Ang yang diadaptasi daripada sebuah novel tulisan Acik Lana ini akan menemui penonton Ogos nanti di slot Megadrama Astro Ria.
Must-Watch Video