HIBURAN

Ben Amir Kongsi Cabaran Filem Legasi: Bomba The Movie - “Bunyi Sahaja ‘Cut’, Kami Terus Baring Tepi Jalan”

Mya Amri 21/08/2025 | 05:55 MYT
Pelakon, Ben Amir mengakui pengalaman menjalani penggambaran untuk filem terbaharunya bertajuk, Legasi: Bomba The Movie merupakan antara cabaran paling besar yang dilalui dalam kerjayanya setakat ini.

Latihan Bomba mencabar

Menurut Ben, sepanjang penggambaran berlangsung, mereka mengalami keletihan yang begitu ekstrem sehingga terpaksa tidur ditepi jalan tanpa mengira keadaan sekeliling.

“Kami kalau penat tidur tepi jalan sahaja, memang sudah tidak kisah sama ada nak ada kerusi atau apa sahaja.

“Sebab sebaik sahaja perkataan ‘cut’ itu disebut, kami semua terus terbaring di tepi jalan. Tak kisah lah kotor atau bersih, kami terus baring sebab memang penat, betul-betul tak larat,” ujarnya.


Ben berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Malam Gala Filem Legasi: Bomba The Movie yang diadakan di GSC IOI Mall Putrajaya pada Isnin.

Ketahanan fizikal dan kekuatan mental

Tambah Ben lagi, Legasi: Bomba The Movie ini juga bukan sahaja mencabar dari segi ketahanan fizikal, tetapi juga kekuatan mental.

Bagaimanapun Ben tetap meluahkan rasa syukur kerana dapat bekerja dengan pasukan produksi dan barisan pelakon yang disifatkan sebagai profesional.

“Sebenarnya bila difikir kembali mengenai penggambaran filem Bomba ini, pada saya memang sangat-sangat mencabar dari segi fizikal dan mental.

“Tetapi yang paling saya bangga dengan filem ini adalah barisan pelakonnya, semua ‘best’. Tiada seorang pun yang ego.


“Tiada pun yang rasa diri mereka itu seorang bintang atau lagi bagus daripada semua orang. Kami semua memang betul-betul ‘brotherhood’.

“Itu yang menyebabkan suasana semakin best. Tak ada rasa disisihkan atau berpuak-puak antara satu sama lain.

“Kami semua baik dan boleh ‘sekepala’ antara satu sama lain. Itu yang saya paling suka bila berjumpa kembali dengan mereka, rasa macam bertemu kawan-kawan lama,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN:Ben Amir Luah Hasrat Mahu Berlakon Di Filipina, Belajar Tagalog - “Sedang Biasakan Diri Cakap Seperti Perbualan Harian, Sembang-Sembang Dengan Makcik”

ARTIKEL BERKAITAN:Ben Amir Dedah Mahu Ceburi Dunia Lakonan Di Filipina - “Saya Ada Berjumpa Dengan…”

ARTIKEL BERKAITAN:Ben Amir Dedah Sedang Jalin Hubungan Dengan Wanita Filipina - “Dia Bukanlah Punca Saya…”

ARTIKEL BERKAITAN:Ben Amir Mulakan Hidup Baru Di Pulau Siargao, Filipina, Tinggalkan Malaysia Demi Impian - “Saya Sedang Buat Rumah, Villa, Ladang Disini”


Selain Ben, Legasi: Bomba The Movie dibintangi oleh Nas Muammar Zar (Nas-T), Henley Hii serta disokong oleh pelakon sampingan seperti Hairie Othman, Ammar Alfian, Fad Anuar, Abbas Mahmood Sasidaran, Nia Atasha dan Mathni Razak.

Legasi: Bomba The Movie ini merupakan sebuah produksi yang diilhamkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, menjadikannya bukan sahaja sebuah filem aksi, tetapi juga simbol aspirasi dan iltizam dalam mengangkat martabat serta pengorbanan wira bomba negara.

Aksi yang dipaparkan disalurkan dengan latihan intensif oleh JBPM sendiri, memastikan setiap gerakan dan prosedur kelihatan autentik di layar perak, sekaligus memberikan penghormatan kepada kepakaran sebenar anggota bomba.

Legasi: Bomba The Movie dipersembahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
(КРКТ) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), bersama rakan penerbit Multimedia Entertainment, GSC, ASTRO dan Six Fun, dipersembahkan bersama HONOR.

Filem ini turut menerima sokongan padu daripada penaja utama CUCKOO serta penaja bersama Kinohimitsu, disempurnakan lagi dengan sokongan rasmi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Filem ini menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula hari ini, 21 Ogos 2025.

Legasi: Bomba The Movie bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah penghargaan kepada keberanian, pengorbanan, dan semangat kental anggota bomba Malaysia.


Sinopsis:

Diarahkan oleh James Lee dan Frank See, Legasi: Bomba The Movie mengisahkan tentang seorang anggota pasukan elit Special Tactical Operation and Rescue Malaysia (STORM) iaitu Amir (Ben Amir) yang berdepan dengan trauma silam.

Namun dipaksa kembali ke barisan hadapan apabila sebuah menara pencakar langit TEXVIN 118 dilanda kebakaran besar.

Misi menyelamat ini menguji kekuatan fizikal, mental, dan semangat setia kawan mereka, dalam sebuah penceritaan yang menggabungkan realisme operasi penyelamatan dengan sentuhan dramatik yang menyentuh hati.

Supplement

Top Up Tenaga Sepanjang Hari

Bila jadual sibuk macam Ben Amir di set penggambaran, badan cepat letih. Multivitamin boleh bantu kekalkan tenaga dan sokong keperluan nutrisi harian supaya anda sentiasa bertenaga.


Dapatkan Multivitamin
#Filem #Ben Amir #Legasi Bomba The Movie