HIBURAN
Ben Amir Mulakan Hidup Baru di Pulau Siargao, Filipina, Tinggalkan Malaysia Demi Impian - “Saya Sedang Buat Rumah, Villa, Ladang Disini”
Pelakon terkenal, Ben Amir mengejutkan peminat apabila mengumumkan bahawa dia kini memulakan kehidupan baharu di Pulau Siargao, Filipina.
Hijrah Demi Impian
Keputusan besar tersebut dikongsikan sendiri oleh Ben menerusi sebuah video yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya baru-baru ini.
Dalam video tersebut, Ben atau nama penuhnya Muhammad Amir Sabaruddin, 35, mendedahkan bahawa dia bukan sahaja menetap di pulau berkenaan tetapi juga sedang merancang untuk membina sebuah rumah dan memulakan perniagaan di sana.
“Saya membuat keputusan besar untuk meninggalkan kehidupan bandar dan membina kehidupan baru di pulau yang indah ini bernama Siargao.
“Tetapi buat masa ini, saya sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan pulau bertemu orang baru, mempelajari budaya Filipina, adat resam mereka.
“Saya mula baru di sini, saya membina impian saya dari bawah, dan sekarang, saya bekerja untuk bina rumah, villa, perniagaan saya dan tidak lama lagi saya akan mengusahakan sebuah ladang kecil,” katanya dengan penuh semangat.
Keputusan Ben untuk menetap di sana pastinya mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat mengenai hala tuju karier seninya di Malaysia.
Walaupun tidak menyatakan secara terperinci tentang perancangannya dalam dunia lakonan, ramai yang percaya bahawa Ben mungkin ingin berehat seketika daripada industri hiburan untuk memberi tumpuan kepada kehidupan baharunya.
Pulau Siargao terkenal sebagai destinasi pelancongan yang indah dengan pantai berpasir putih dan ombak yang menjadi tarikan utama para pencinta sukan luncur air.