Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi dikecam netizen selepas berkongsi berita palsu mengenai Koronavirus di laman sosial Facebook dan Twitternya.

Zed telah berkongsi foto yang kononnya disiarkan sebuah saluran berita mengenai negara Malaysia yang masih belum mengharamkan kemasukan warga China ke negara ini.

Berita palsu tersebut memaparkan tajuk Breaking News: All countries except Malaysia - All countries has banned Chinese tourist except Malaysia (Berita tergempar: Semua negara kecuali Malaysia – semua negara mengharamkan pelancong China kecuali Malaysia).

Sementara di ruangan kapsyen Zed telah meluahkan rasa tidak selamat tinggal di negara Malaysia kerana terpaksa memakai topeng menutup muka selama 24 jam.

“Duduk Malaysia pun tak selamat terpaksa pakai tutup hidung ni 24 jam dari influenza ke conovirus pulak…Lepas ni tak tau apa bala lagi nak turun. Mesti Malaysia ada buat benda-benda tak baik ni... Hmmm aku rasa rakyat ja yg tau,” tulisnya.

Bagaimanapun, tidak lama selepas Zed memuatnaik perkongsian tersebut netizen terus menyerang FB dan Twitter dan menggelarkannya bodoh.

Seorang warga Twitter @fauxcrew telah membalas di Twitter Zed dengan melakukan troll berita bertajuk ‘Breaking News: Zed Zaidi Masih Bodoh? – Sudah 2020 Zed Zaidi Masih Belum Bijak.’

Rata-rata warga Twitter yang meninggalkan komen pada @fauxcrew menyokong tindakan Zed sebagai kurang bijak termasuk yang memberitahu kepada pelakon tersebut ‘berita’ seumpama itu boleh dihasilkan menerusi laman sesawang breakyourownnews.com.

Bukan setakat itu, ada juga netizen yang mahu pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan terhadap Zed yang juga ahli UMNO tersebut.