Pelakon yang dikenali menerusi drama Korea popular Jewel in the Palace, Park Eun Hye mengesahkan telah bercerai dengan suaminya selepas 10 tahun berkahwin.

Berita itu disahkan menerusi kenyataan rasmi wakil agensinya, Early Bird Entertainment hari ini.

“Hello ini adalah wakil agensi Park Eun Hye, Early Bird Entertainment. Kami ingin memberi kenyataan mengenai berita penceraian Eun Hye.

“Selepas berbincang, Eun Hye dan suaminya mengambil keputusan untuk berpisah kerana tidak lagi sefahaman. Pihak kami agak keberatan untuk berbicara mengenai perkara tersebut kerana ini merupakan hal peribadi mereka.

“Bagaimanapun, hak penjagaan anak-anak diberikan kepada Eun Hye dan dia juga sedang memberikan yang terbaik untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ibu kepada anak-anak mereka.

“Kami berharap anda semua menghormati keputusan yang dibuat. Eun Hye juga memohon maaf sekiranya dia telah melukakan hati peminatnya dengan berita tersebut.

“Eun Hye berjanji akan menjalani kehidupan yang bahagia dan melakukan yang terbaik sebagai seorang pelakon dan juga ibu kepada dua orang anaknya. Terima kasih atas sokongan anda,” jelas wakilnya.

Terdahulu, Eun Hye telah berkahwin dengan suaminya yang merupakan seorang ahli perniagaan pada 27 April 2008.

Pasangan ini kemudiannya dikurniakan anak lelaki kembar selepas tiga tahun berkahwin.

Sumber: Soompi