ASTRO GEMPAK ARTICLE
Hilang Secara Misteri, Ahli Kumpulan Muzik Mexico Muncul Semula Tanpa Penjelasan
Lima ahli kumpulan muzik Los Juniors de Monterrey bersama pemandu mereka dilaporkan hilang secara misteri ketika dalam perjalanan ke sebuah persembahan peribadi di Mexico, sebelum muncul semula tanpa sebarang penjelasan.
Memetik laporan Daily Mail, difahamkan, sebelum kejadian, mereka baru sahaja selesai membuat persembahan di sebuah bar sempena Hari Bapa di bandar Guadalupe, negeri Nuevo León.
Video terakhir menunjukkan mereka berhenti di tepi jalan kerana mengalami masalah teknikal dengan kenderaan.
Pihak berkuasa mengesahkan mereka hilang selepas semua panggilan telefon tidak dijawab. Namun, pada hari Selasa, Gabenor Negeri mengesahkan mereka semua selamat dan telah pulang ke pangkuan keluarga.
Tiada maklumat lanjut diberikan mengenai kehilangan mereka.
Insiden ini berlaku hanya sebulan selepas kejadian menyayat hati membabitkan lima anggota kumpulan muzik Grupo Fugitivoyang diculik dan dibunuh ketika dalam perjalanan ke persembahan peribadi di Reynosa, bandar sempadan Mexico.
Mayat kelima-lima mangsa termasuk pengurus kumpulan itu, Livan Solís, ditemukan dalam keadaan diseksa di sebuah ladang pada 28 Mei.
Sebanyak sembilan suspek yang dipercayai anggota kartel Los Metros, pecahan kepada kartel dadah terkenal Gulf Cartel, telah ditahan oleh pihak berkuasa negeri Tamaulipas.
Must-Watch Video