Percutian pasangan suami isteri influencer dan juga cosplayer (pemain cosplay) di pulau peranginan terkenal dunia, Bali berakhir tragedi.

Suami kepada Karina Melynchuk iaitu, Xiao Fong Jhony atau Johnny telah meninggal dunia selepas lemas dibawa ombak sewaktu keduanya mandi di Pantai Batubeling.

Lebih malang, Johnny dilaporkan datang bercuti dari China bersama isteri untuk meraikan ulang tahun ke-34 pada 7 November 2023. Dan pada tarikh sama, Johnny meninggal dunia.

Mayat Johnny yang memiliki 5.4 juta pengikut di Weibo ditemui sehari selepas kejadian terapung di kawasan Pantai Petitenget.

Menurut laporan media Indonesia, pasangan itu diheret ombak kuat sewaktu mandi bersama.

Karina yang merupakan warganegara Ukraine dikatakan cuba menyelamatkan suaminya yang mengalami kejang sebelum Johnny hilang dibawa arus. Wanita berusia 30 tahun itu pula berjaya diselamatkan penjaga pantai.

Keduanya dikatakan tidak sedar mengenai larangan mandi di pantai tersebut meski bendera merah sudah dipasang sebagai peringatan kepada pengunjung.

Berita kematian Johnny mengejutkan pengikutnya apa lagi dia meninggal dunia pada usia muda (34 tahun). Malah ada yang tidak mempercayai lelaki tersebut telah tiada.

BERITA TRENDING: Influencer Bunuh Anak, Sorok Mayat Dalam Almari
BERITA TRENDING: "Sejak Kecil Saya Ada Angan-Angan Berkahwin Dengan Anak Raja" - Amanda Amry