Laman Utama
“Berdamailah, Berlapang Dada” - Anggap Seperti Sahabat, Dr. Zulkifli Mahu Caprice & Ebit Lew Berbaik
Kemelut yang melanda di antara bintang rap Caprice dan pendakwah bebas ustaz Ebit Lew mendapat perhatian termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Memetik laporan Alhijrah Online, Dr Zul berkata seelok-eloknya, kedua-dua pihak haruslah mencari jalan untuk berdamai.
Tambah Dr. Zul lagi, kedua-kedua personaliti tersebut adalah sahabatnya dan tidak mahu memberikan komen terhadap masalah peribadi mereka.
“Saya tiada komen sebab saya belum meneliti apa-apa. Itu hal peribadi, kedua-duanya sahabat saya, pernah datang bertemu.
“Hal seperti ini seeloknya damaikanlah sebaik mungkin, berlapang dada,” katanya kepada Alhijrah Online.
Pada Jumaat, isu tercetus melibatkan Caprice dan Ebit selepas penyanyi rap tersebut bertindak meluahkan rasa tidak puas hati berhubung misi bantuan pendakwah berkenaan di Gaza baru-baru ini.
Pembantu peribadi Ebit kemudian tampil untuk menjawab segala spekulasi dan pertuduhan yang dilemparkan kepada pendakwah tersebut.
Pada 23 Jun lalu, Caprice terbang ke Mesir bagi menjayakan sebuah misi kemanusiaan di Gaza. Namun sehingga ke hari ini, dia masih belum dibenarkan untuk memasuki ke wilayah bergolak itu.
Beberapa hari yang lalu, Caprice kerap memberi bayangan mengenai satu pendedahan yang akan dibuat mengenai mengapa dia tidak dibenarkan masuk ke Gaza yang dikatakan berpunca daripada beberapa orang berpengaruh.
Caprice akan tampil membuat pendedahan tersebut di ruangan IG Live pada Rabu depan, 9 malam waktu Malaysia.