Laman Utama

Bergadai Emas Buat Modal Jual Kerepek, Ali XPDC Syukur Diberi Peluang Kedua - "Allah Dah Tarik Nikmat Suara ..."

gempak
Amri Hassan
30/04/2022
13:25 MYT
Sponsor Banner
Bergadai Emas Buat Modal Jual Kerepek, Ali XPDC Syukur Diberi Peluang Kedua - "Allah Dah Tarik Nikmat Suara ..."
Vokalis kumpulan XPDC, Ali bersyukur diberikan peluang kedua untuk meneruskan kehidupan ketika ini.
Diserang angin ahmar dan ditidurkan akibat kesukaran bernafas kerana masalah jantung dan paru-paru sebelum ini, Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, 54, semakin stabil.
BACA: "Asalkan Dia Baca, Saya Syukur" - Daqmie Kirim Mesej WhatsApp Setiap Hari Buat Ali XPDC, Titip Kata-Kata ...
"Alhamdulillah, saya bagai hilang kata-kata diberi nikmat hidup ini. Saya pernah berada pada tahap peratusan 50/50 untuk hidup. Seperti nyawa-nyawa ikan ketika itu. Allah tarik nikmat aset suara saya miliki, tapi dibentangkan banyak hikmah.
"Tapi kini keadaan saya semakin okey. Dulu nak bercakap pun susah. Sekarang boleh bercakap walaupun tak lancar. Kalau susah sangat nak bercakap, isterilah yang jadi wakil (bercakap). Sehingga kini saya masih meneruskan fisioterapi dan 'rehab' seminggu sekali di Hospital Rehabilitasi Cheras.
"Pergerakan dan kos ulang-alik ke hospital juga dapat dijimatkan serba sedikit kerana saya sudah berpindah menyewa pangsapuri di Seri Kembangan sejak awal Ramadan lalu. Dulu masa tinggal di Klang, banyak guna duit," kata Ali kepada wakil media yang berkunjung ke kediamannya baru-baru ini.
Tambah Ali, dia bersyukur di saat hilang punca rezeki, banyak pihak yang datang untuk menghulurkan bantuan kepadanya sekeluarga.
"Kos rawatan di Hospital Ampang sebelum ini selama tiga minggu RM12,000 ditanggung Baitumal. Begitu juga bayaran sewa rumah RM850 turut dibantu badan berkenaan.
"Kediaman baharu yang disewa pun sewanya dibayar Baitulmal sebanyak RM800. Kami hanya bayar RM50 saja," kata Ali.
Namun, sejak awal Ramadan lalu juga, Ali enggan terus berpeluk tubuh sebaliknya cekal mengusahakan perniagaan menjual kerepek dan kuih tradisional.
"Anak saya syorkan takkan nak terus menerima sumbangan orang, lalu mereka mencadangkan untuk menjalankan perniagaan. Akhirnya kawan syorkan saya menjual kerepek dan kuih diusahakannya.
"Kami berniaga di tapak Pekan Sungai Besi. Tapak pun kawan saya uruskan tanpa perlu saya membayar sewanya. Cuma masa nak mulakan perniagaan itu, duit simpanan yang ada ditampung dengan barang kemas digadai isteri jadi modal. Hasilnya dapatlah kumpul RM8,000 sebagai modal.
"Ketika ini, tiga anak saya termasuk lelaki sulung bergilir-gilir menjaga gerai kerana saya belum kuat untuk menjaganya seorang diri. Hasil jualan ini bolehlah menampung kehidupan saya sekeluarga. Malah pernah hasil jualan cecah RM300 sehari," kata Ali sambil memberitahu wakil kelab peminat XPDC turut datang ke rumah dan menghebahkan perniagaan diusahakannya.
Terdahulu, Ali dan isteri, Sharifah Azuwanna Syed Joned, menerima kunjungan pihak stesen radio Buletin FM bersama Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin.
Mereka menerima sumbangan dan bantuan baucar RM300 sebulan selama tempoh setahun untuk membeli barangan keperluan dapur di premis beli belah itu.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024