"Berhijrah Itu Memang Senang, Tapi..." - Nelydia Senrose

Kamaruddin Razal
Januari 21, 2019 20:49 MYT
Pelakon cantik, Nelydia Senrose yang baru sahaja pulang dari menunaikan ibadah Umrah di Tanah Suci Mekah memohon doa yang baik-baik dari semua pihak.
"Saya akui ramai peminat yang menantikan perubahan saya, lebih-lebih lagi selepas pulang dari Umrah. Namun begitu, saya memohon agar tidak diberikan tekanan untuk saya berubah.
"Biarlah perubahan itu datang sendiri secara perlahan-lahan tanpa tergesa-gesa. Semua orang mahu berubah dan saya juga tidak terkecuali.
"Berhijrah itu memang senang, tetapi untuk terus kekal istiqamah itu agak sukar. Berikan saya masa dan saya memohon peminat mendoakan yang terbaik untuk saya," kata kakak kepada aktres Raysha Rizrose ini.
Nelydia ditemui di majlis sambutan hari lahir Datuk Seri Siti Nurhaliza yang ke-40 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah pelakon drama bersiri Lafazkan Kalimah Cintamu ini, dia memasang impian untuk ke Mekah dan Madinah setiap tahun.
"Pengalaman terbabit sangat menakjubkan. Saya langsung tidak fikirkan mengenai bebanan kerja atau hal-hal lain kerana fokus saya memang untuk beribadah.
"Bangun tidur sahaja, saya terus rasa bersemangat untuk menjalani hari di Mekah dan Madinah. Jika diberikan peluang, saya teringin untuk ke sana setiap tahun dan jika diberikan rezeki, saya mahu mengerjakan ibadah Haji pula," kata Nelydia menutup bicara.
#pelakon #Nelydia Senrose #Pelakon