Penyanyi Nourul Depp menjawab pertikaian warganet mengenai penghijrahannya ke Bali, Indonesia tanpa anak sulung, Ayu Nazirah.

Nourul menerusi sesi live di Instagram berkata, tidak ada ibu yang gembira apabila terpaksa berpisah dengan darah daging mereka.

Bagaimanapun kata Nourul, Ayu yang kini berusia 23 tahun berhak menentukan jalan hidupnya sendiri, tambahan lagi bapa kandungnya juga di Malaysia.

“Tak ada ibu yang tak sedih bila terpaksa berjauhan dengan anaknya. Saya dan Ayu pernah berjauhan sebelum ini ketika Ayu belajar di Sarawak.

“Ayu berhak tentukan hidupnya sendiri. Kami ada membincangkan tentang perkara ini dan dia memilih untuk tinggal di Malaysia.

“Tidak mengapa, kerana Ayu memiliki dan menguruskan perniagaan dia di Malaysia. Bapa Ayu juga di sana, takkan dia nak tinggal…,” katanya menahan sebak.

Membalas kenyataan ibunya, Ayu berkata dia sudah mengetahui lebih awal tentang rancangan ahli keluarganya yang akan berhijrah ke luar negara.

“Ayu memang dah tahu keluarga akan berpindah ke Bali. Itu impian bapa tiri saya untuk tinggal di sana selepas bersara.

“Saya dah bekerja dan mampu menyara kehidupan sendiri sekarang, Alhamdulillah. Pada usia yang muda saya berbangga kerana peluang yang diberikan mama kepada saya.

“Sudah sampai masa saya hidup berdikari, sampai bila nak duduk bawah ketiak mak. Sayang mak tu tetap, nanti Bali buka saya akan pergi ke sana,” katanya positif.

Sementara itu Nourul berkata, dia pasti akan merindui anak sulungnya itu dan mengakui mengalirkan air mata sebaik sahaja kapal terbang berlepas.

“Mestilah rindu, siapa kata tak rindu. Bila kapal terbang berlepas ja, saya rasa macam separuh daripada badan ni tertinggal. Ayu Nazirah tinggal kat sini. Ya Allah…Tanah Malaysia, jagalah anak aku…

“Berat hati dan sedih mestilah ada, tempat lahir kita. Banyak kenangan…Mak, adik-beradik semua ada di sana. Tetapi hidup perlu diteruskan,” katanya menitiskan air mata.

Nurul dan keluarga kini berada di Jakarta sebelum berangkat ke Bali tidak lama lagi.

A post shared by N O U R U L (@nouruldepp)