Video memperlihatkan pelakon Mas Khan sedang memberi makan kepada dua ekor anjing jalanan mendapat pujian wargamaya.

Mengetahui sifat haiwan tersebut hanya menunggu makanan diberikan oleh manusia, kata Mas Khan, anjing juga merupakan salah satu makhluk di dunia yang mempunyai rasa lapar.

“Anjing tidak tahu bahawa wang diperlukan untuk makanan. Anjing tidak tahu bahawa manusia yang memerhatikan mereka tidak akan memikirkan kelaparan mereka. Anjing hanya berdiri dan menunggu makanan dicampakan kepada mereka.

“Lapar adalah perasaan sejagat bagi semua makhluk hidup di dunia. Mari buka hati kita dan berilah makan kepada apa yang anda lihat di jalanan (haiwan),” katanya.

Mas khan berkongsi mengenai perkara itu menerusi beberapa siri hantaran di Instagram Stories miliknya pada Jumaat.

Sementara itu, aktor berusia 28 tahun itu turut berkongsi beberapa tangkap layar yang memperlihatkan reaksi yang diberikan oleh pengikutnya mengenai tindakannya itu.

Rata-rata wargamaya memberikan repons positif dan memuji sikap murni aktor tersebut yang memberikan makanan kepada haiwan berkenaan.

“Terima kasih berbuat sedemikian dan sebagai seoarang Muslim, saya harap umat Islam yang lain juga boleh ubah perspektif mereka tentang anjing. Awak seorang hero!.

“Terima kasih Mas Khan, saya gembira melihat tindakan awak. Terima kasih kerana sayangkan mereka. Kita perlukan lebih ramai rakyat Malaysia yang mempunyai hati baik macam awak.

“Semoga makin ramai orang yang berhati baik seperti awak,” antara respon balik kepada hantaran yang dimuat naik Mas Khan.

Terdahulu, nama Mas Khan dikecam oleh netizen susulan tindakannya memelihara seekor anjing jenis baka German Shepherds di kediaman miliknya.

Bagaimanapun kata Mas Khan, tujuan dia memelihara haiwan tersebut kerana mahu ia menjaga kawasan premisnya yang terletak di tengah ibu kota.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.