Pelakon Fauzi Nawawi akan mengambil tindakan undang-undang terhadap wanita yang didakwa menghilangkan diri selepas berhutang dengan isterinya, aktres Lisdawati.

Menurut Fauzi dia memberi tempoh masa sehingga sambutan Hari Kebangsaan pada 31 depan untuk wanita tersebut tampil menyelesaikan isu ini.

"Buat masa sekarang kami masih beri dia peluang dan masa untuk dia tampil berbincang dan menyelesaikan masalah tersebut dengan cara baik.

"Tapi sampai sekarang dia masih menghilangkan diri.

"Kami ada juga pergi rumah dia tapi seperti tidak ada penghuni.

"Jadi saya dan isteri beri masa kepadanya sehingga Hari Kebangsaan (31 Ogos) untuk dia tampil kalau benar-benar mahu rasa merdeka," katanya kepada Gempak.

Fauzi ditemui ketika majlis pelancaran filem Coast Guard yang diadakan di The Rouge Club, Hotel Red Kuala Lumpur semalam.

Tambah pelakon filem Munafik 2 ini menegaskan tindakan undang-undang perlu diambil untuk memberi pengajaran.

"Tindakan undang-undang perlu diambil untuk mengelak insiden sama terkena kepada orang lain.

"Bayangkan kalau saya senyap, orang seperti wanita ini tidak akan menerima pengajaran.

"Tak mustahil kalau perkara sama akan berulang dan artis lain pula menjadi mangsa seperti isteri saya," katanya lagi.

Terdahulu, Lisdawati meminta bantuan orang ramai untuk mengesan wanita yang dikenali sebagai Nurul Ashikin.

Wanita terbabit didakwa telah meminjam sejumlah wang daripada Lisdawati lalu menghilangkan diri.

BACA: "Dia Ambil Duit & Lari..." - Lisdawati Cari Wanita Ini, Dah Kenapa Pula Tu?