Penyampai radio ERA Radin, 31, bersyukur apabila berjaya mengumpul dana sebanyak RM7,000 termasuk hasil daripada jualan baju terpakai dan sumbangan daripada beberapa kenalan rapat dan orang ramai.

Radin atau nama sebenarnya Radin Amir Affendy Ahmad Aruani akui gembira apabila projek food bank berjalan dengan lancar sepanjang dua hari dilakukan.

Katanya, dia juga memberikan RM500 daripada dana tersebut kepada rakan selebritinya iaitu Hefny Sahad yang turut melakukan misi bantuan.

"Tahun lepas saya jual kasut terpakai dan tahun ini alhamdulillah..saya berjaya dapat RM5,000 hasil daripada jualan koleksi baju. Campur dengan sumbangan orang lain, jumlah keseluruhan dapat RM7,000.

"RM500 saya transfer kepada beberapa individu yang minta bantuan di IG dan RM500 saya beri kepada Hefny untuk misi food bank dia juga.

"Ada lagi baki RM6,000, saya beli barangan keperluan asas untuk 80 keluarga. Barangan tersebut termasuk beras, telur, bihun, minyak masak dan beberapa lagi.

"Barang-barang itu saya letak di kedai kawan saya, Ezwan Zain (Kueh Cafe) di Shah Alam. Dia pun turut serta dalam misi ini.

"Pada Sabtu lalu, dalam 50 keluarga dapat barangan tersebut. Selebihnya kami agih sendiri di sekitar Subang dan Shah Alam," katanya kepada Gempak.

A post shared by RAA (@radin_era)


Tambah pengacara program Media Hiburan Throwback, dia tersentuh hati ketika mendengar kisah daripada individu yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Apabila saya buat food bank ini, saya seronok sebab dapat bantu bukan semata Melayu sahaja..pelbagai bangsa yang datang termasuk warga Bangladesh.

"Kebanyakan keluarga yang diberi bantuan mereka diduga dengan hilang pekerjaan, ada yang ada anak ramai dan juga anak kurang upaya (OKU).

"Ada seorang kakak ini dia jual air tebu, bukan tak nak meniaga tetapi pembekal tak dapat hantar sebab PKPD.

"Seorang abang ini lagi kesian..dia dah diberhentikan kerja dan isteri dia kena strok. Kesian sangat.

"Jadi saya dengan Ezwan rancang insya-Allah jika ada rezeki lebih kami nak teruskan projek ini dalam masa terdekat," katanya.

Dalam pada itu, anak kelahiran negeri Perak ini turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pembeli yang membeli koleksi baju miliknya.

BACA: Demi Projek 'Food Bank', Radin Jual Preloved & Sedekah Gaji - "Tak Perlu Jadi Kaya Untuk Buat Orang Lain Bahagia"