Laman Utama
Berkolaborasi Dengan RIUH & Waknat, NUSA FEST Janji Tampilkan Kelainan
Tinggal beberapa hari sahaja lagi menjelang Festival NUSA FEST yang bakal diadakan di Bandar Malaysia.
Selepas pengumuman tiga kumpulan gergasi, Search, Wings dan Butterfingers bakal menjadi headliner bagi festival berkenaan, ramai peminat dilihat tidak sabar untuk merasai kehangat Nusa Fest.
Malah, kumpulan-kumpulan dengan pengikut setia seperti Fourtwnty, Barasuara, The Pinholes, Masdo, Gerhana Ska Cinta dan Iqbal M bakal turut memeriahkan suasana Nusa Fest.
Lebih menarik, NUSA FEST turut membawakan kepada peminat muzik dan kulinari, Pasar Nusa, yang akan menyajikan kepelbagaian produk buat para pengunjung.
Pasar Nusa yang akan diadakan di hanger Bandar Malaysia bakal menghadirkan 80 penjual kraf dan seni yang pastinya kena dengan selera pengunjung. Pasar Nusa merupakan sebuah kolaborasi bersama RIUH, sebuah platform kurasi kreatif yang mengetengahkan barangan dan bakat kreatif tempatan sejak tahun 2017.
Pihak Shiraz Projects selaku penganjur amat berterima kasih atas sokongan RIUH dan mengakui teruja dengan kerjasama yang dilihat akan meningkatkan pengalaman para pengunjung NUSA FEST.
“Ini merupakan kali pertama RIUH bekerjasama dengan NUSA FEST untuk menguruskan peruncit yang unik. Pasar Nusa akan mempunyai produk dan vendor yang dipilih secara eksklusif oleh RIUH.
“RIUH dan NUSA FEST sejajar dalam misi kami iaitu untuk membantu menyediakan platform untuk ekonomi kreatif. Pasar Nusa dipilih susun oleh RIUH manakala Waknat pula menjadi penyusun atur untuk Warong Nusa,” ujar Shirazdeen Karim yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects.
Selain itu, substage juga turut disediakan di Pasar Nusa dengan persembahan akustik dari A.limin, Kolar Hijau, Motherwit, Satwo dan Teman Lelaki. Manakala ruangan DJ set pula memberikan halwa telinga dari Awyn, Emai, Killah Z, MMK, S.Shahrin, Velvet, Wakmy dan Wayne.
Selain itu, Warong Nusa turut menyediakan sekitar 60 warung makanan dan minuman. Ini termasuk vendor terkenal tempatan seperti Kopi Dua Darjat, Minuum KL, Laiyan KL, Miker Pizza, Sloopyan Hotdog, Nachoslah Global, Kelava dan The Gorpis.
Buat peminat makanan dan minuman Nusantara, NUSA FEST turut membawakan hidangan dari Indonesia khusus buat pengunjung. Terdapat 20 trak makanan untuk dinikmati bersama.
NUSA FEST bakal diadakan pada 8 dan 9 Julai 2023 di Bandar Malaysia, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Tiket berharga RM200 (untuk kemasukan seorang selama dua hari) dan RM700 (untuk kemasukan empat orang).
Maklumat lanjut layari www.myticket.asia atau hubungi 03-8605 0196 atau 012-256 0082.
Must-Watch Video