Laman Utama
Jadi Headliner NUSA FEST, Butterfingers Cakap Soal Album & Projek Baharu
Butterfingers merupakan salah satu daripada tiga headliners yang diumumkan mengisi NUSA FEST yang bakal berlangsung di Bandar Malaysia, Sungai Besi. Dua headliners yang lainnya adalah kumpulan legenda Search dan Wings.
Kemunculan Butterfingers selepas hampir empat tahun tidak dilihat beraksi di pentas menimbulkan keterujaan penggemar mereka, terutama Royal Butters. Dengan membariskan Emmet, Loque, Kadak dan Loko, Butterfingers dijadualkan bermain selama 45 minit di NUSA FEST pada 9 Julai depan.
Tanpa menamakan lagu yang bakal dibawakan, Emmet memberitahu Butterfingers hanya ingin ‘bergembira’ pada festival yang membabitkan 24 buah kugiran daripada Malaysia, Indonesia dan Singapura itu.
“Kami hanya ingin bergembira dan meraikan karya serta peminat,” katanya ringkas.
Ditanya adakah pembabitan dalam NUSA FEST memberi indikasi Butterfingers sedang menggarap karya baharu atau memiliki projek besar yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat, Loque memberitahu mereka mahu bergerak secara slow-slow atau perlahan.
“Untuk album baharu belum ada kerana terus-terang, kami sekarang dalam fasa meraikan karya-karya lama Butterfingers yang dikeluarkan dengan agak kerap satu masa dahulu.
“Buat masa ini, kami pilih bergerak secara melly goeslaw. Bukan Melly Goeslaw penyanyi Indonesia itu tapi secara slow-slow atau perlahan. Jadi kami tidak mahu bercakap lebih kerana apa-apapun boleh terjadi pada masa akan datang,” jelas Loque sambil berseloroh.
Namun Loque mengakui Butterfingers akan muncul dengan sebuah projek khas yang direncana sempena Aidilfitri tahun hadapan.
“Insya-Allah akan ada sesuatu tentang Butterfingers dan Aidilfitri nanti,” katanya ringkas.
Sepanjang bergelumang dengan belantika muzik tempatan sejak sekitar tahun 1996, Butterfingers sempat melahirkan beberapa album termasuk Transcendence, Malayneum, Selamat Tinggal Dunia dan Kembali.
Butterfingers kali terakhir bertemu Royal Butters adalah pada Konsert Transcendence 20 Tahun di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2 November 2019 lalu.
Must-Watch Video