Pelakon Nadia Brian mengakui tidak kisah dikecam oleh netizen apabila melakonkan aksi ranjang dalam filem Blok 404.

Menurut Nadia, dia mengakui penonton sekarang lebih bijak dalam menilai sesebuah naskah yang dihasilkan berbanding memberi kecaman kepada para pelakon.

"Apa yang dilakukan itu cuma lakonan dan semua itu hanya menggunakan trick kamera hasil kreativiti pengarah.

"Jadi bagi saya perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana penonton sekarang lebih bijak untuk menilai.

"Dengan adanya penggunaan teknologi semua benda boleh dilakukan tanpa perlu melampaui batas.

"Lagipun semasa melakonkan babak ranjang bersama Amar Asyraf ramai orang ada disekeliling kami dan juga isteri Amar yang turut ada semasa penggambaran babak tersebut," katanya kepada Astro Gempak.

Nadia berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Blok 404 di Flora Terrace, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Selain Nadia, filem Blok 404 ini turut dibintangi oleh Fasha Sandha, Raja Azrey, Nur Risteena Munim, Kamal Adli, Zamarul Hisham dan Datuk Boy Iman.

Filem Blok 404 ini bakal memulakan tayangan pada 28 Jun ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi